Latest News

Sunday 23 November 2014

12 Menara Baharu Pertingkat Keupayaan Liputan Komunikasi!


Sik - Pembinaan 12 menara komunikasi baharu di Kedah tahun depan diharap akan dapat mempertingkat keupayaan liputan komunikasi di beberapa daerah di negeri ini yang ketika ini berada pada tahap tidak memuaskan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi negeri Norsabrina Mohd Noor berkata keseluruhan menara telekomunikasi sedia ada di negeri ini ialah sebanyak 807 unit, antaranya dimiliki Yiked Bina Sdn Bhd, Telekom, Celcom, Maxis, Umobile, Digi, Sapura dan syarikat persendirian yang berlesen.

"Pada tahun ini, sebanyak 40 lagi menara dibina untuk fasa lepas dan sebanyak 12 menara baharu akan dibina pada tahun 2015, termasuk empat menara di daerah Sik.

"Sebanyak lima daerah dikenal pasti mengalami masalah liputan komunikasi iaitu Bandar Baharu, Sik, Pendang, Baling dan Padang Terap," katanya kepada Bernama selepas menghadiri Program Dialog Telekomunikasi di perkarangan Pusat Khidmat 1Malaysia Dewan Undangan Negeri Jeneri di sini.

Norsabrina berkata program dialog yang khusus membincangkan mengenai telekomunikasi itu menjadi platform untuk memahami masalah yang dihadapi penduduk seterusnya mencari penyelesaian terbaik.

"Telekomunikasi ketika ini sebagai keperluan asas kepada rakyat dan kebanyakan infrastruktur disediakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).


"Antara masalah yang dibangkitkan ialah liputan komunikasi yang masih kurang, bukan sahaja untuk penggunaan Internet tetapi juga untuk panggilan telefon dan saya lihat menerusi penambahan infrastruktur, ia akan dapat menyelesaikan masalah liputan," kata Norsabrina.

Beliau berkata isu lain yang turut dibincangkan ialah masalah kecurian kabel yang menyebabkan berlakunya gangguan liputan komunikasi, penambahan khidmat kaunter pembayaran serta cadangan mengadakan Mini Karnival ICT peringkat Parlimen Sik.

"Masalah yang tidak dapat diselesaikan segera pada sesi dialog ini akan diambil tindakan selanjutnya, manakala cadangan mengadakan Mini Karnival ICT itu satu cadangan menarik dan Sik akan menjadi daerah pertama yang mengadakannya pada tahun hadapan," katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: 12 Menara Baharu Pertingkat Keupayaan Liputan Komunikasi! Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top