Latest News

Thursday 27 November 2014

Harimau Rebah Bertemu Thailand #AFFSuzuki2014


Bukan Rezeki Harimau 

Kem Harimau Malaya pasti tidak dapat tidur lena malam tadi setelah menempuh pe­ngalaman pahit apabila mendahului dua kali hanya untuk tewas 2-3 kepada Thailand yang memperoleh gol kemenangan pada minit ke-88 menerusi Adisak Kraisorn.

Namun, anak-anak buah Dollah Salleh boleh berasa bangga kerana mereka telah mengerah ‘kudrat tua’ mereka untuk me­nyaingi skuad Gajah Putih yang menjadi pilihan utama kejohanan dalam perlawanan kedua Kumpulan B, Piala AFF di Stadium Jalan Besar malam tadi.

Kelekaan pemain pertahanan terutama Afif Amiruddin mengawal Adisak terpaksa dibayar dengan harga mahal sekalipun Harimau Malaya boleh menamatkan permainan itu dengan meraih sekurang-kurangnya satu mata.

Walaupun tewas, hayat Harimau Malaya dalam kejohanan dwitahunan ini masih belum berakhir, tetapi perlu menewaskan Singapura di hadapan para penyokong mereka di Stadium Nasional Sabtu ini untuk muncul naib juara kumpulan dan mengiringi Thailand yang telah layak ke separuh akhir dengan kemena­ngan ke atas Malaysia.

Impian itu tidak mustahil untuk dilakukan memandangkan skuad Singa juga menghadapi masalah kerana kehilangan Baihakki Khaizan yang digantung satu perlawanan selepas mengutip kad kuning kedua ketika bertemu Myanmar dalam satu lagi perlawanan manakala Shahdan Sulaiman patah buku lali.

Harimau Malaya kini menduduki tempat ketiga di dalam kumpulan, berkongsi satu mata dengan Myanmar sementara Singapura yang menang 4-2 di Stadium Nasional, hanya memerlukan seri dalam aksi terakhir bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Dollah juga tidak mahu para pemainnya putus asa kerana peluang ke separuh akhir masih ada buat mereka dengan syarat memperbaiki masalah konsentrasi di minit akhir permainan bagi menewaskan Singapura.

“Saya tetap gembira dengan persembahan para pemain. Walaupun keputusan tidak memihak kepada kami namun perjuangan masih belum berakhir, masih ada satu perlawanan yang kami kena lalui.

“Di dalam hati saya, saya yakin pasukan ini masih boleh membuktikan sesuatu dalam perlawanan terakhir (berdepan Singapura), in sya Allah. Sudah tentu keputusan ini dilihat sesuatu yang tidak adil tetapi kami dihukum atas kelekaan di minit ter­akhir permainan.

“Kami akan berjuang bermati-matian apabila bertemu Singapura dan para pemain masih bermotivasi untuk bertemu Singapura pada Sabtu ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.






Mohd. Amri Yahyah menggegarkan Stadium Jalan Besar melalui gol pembukaan pada minit ke-28 menerusi sepakan leret hasil gerakan bersama Safiq Rahim tetapi kelebihan yang dimiliki anak-anak buah Dollah Salleh tidak bertahan lama apabila Adisak Kraisorn yang baru dibawa masuk menggantikan Kirati Keawsombut menyamakan kedudukan pada penghujung babak pertama.

Bagaimanapun, Safiq memasti­kan Harimau Malaya kembali di hadapan apabila memperdayakan tiga pertahanan Thailand sebelum tenang menewaskan Kawin Thamsatchanan pada minit ke-60 sebelum Thailand sekali lagi meletakkan permainan dalam keadaan seimbang apabila Charyl Chappuis menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-72.

Adisak akhirnya mengecewakan 28 juta rakyat Malaysia apabila bijak memperdayakan pertahanan PDRM, Afif sebelum merembat kencang untuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Dollah memuji persembahan para pemainnya terutama Safee Sali yang memberikan aksi positif biarpun jarang beraksi sepenuh masa bersama kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) di samping mempertahan keputusannya mengeluarkan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-70 untuk digantikan dengan Abdul Manaf Mamat.

“Saya rasa Safee beraksi cukup baik hari ini walaupun dia sudah dua ke tiga bulan tidak beraksi sepenuh masa dan saya harap dia boleh meneruskan aksi sebegini, begitu juga dengan Manaf Mamat serta Indra Putra (Mahyuddin).

“Saya mengeluarkan Norshahrul adalah kerana saya rasa dia tidak begitu cemerlang pada malam ini dan tidak banyak membantu, itu sebab saya menukarkan dia dengan Manaf,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Harimau Rebah Bertemu Thailand #AFFSuzuki2014 Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top