Latest News

Monday 24 November 2014

Pendayung Solo Tamat Misi Keliling Semenanjung


LANGKAWI, 23 Nov (Bernama) -- Pendayung solo, Nadzeri Mustafa dari Kedah berjaya menamatkan misinya mengelilingi Semenanjung Malaysia pada jarak 2,000 kilometer hari ini.

Nadzeri, 50, dari Changlun berkata beliau terpaksa mengharungi cabaran laut bergelora dan ribut kencang selama 65 hari yang bermula dari Pengkalan Kubor, Kelantan sejak 20 September lepas.

"Namun, saya berbangga menamatkan cabaran berdayung kenu secara solo lima hari lebih awal dari sasaran selama 70 hari," katanya pada sidang media selepas menamatkan cabaran itu di Jeti Pelancongan Langkawi di sini Ahad.

Beliau selamat tiba pada kira-kira pukul 10.15 pagi tadi selepas berdayung dari Kuala Perlis ke Kuah, Langkawi.

Ketibaannya disambut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid; anggota Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad; dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif 1 Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Dr Yusof Ismail.

Nadzeri berkata, sepanjang ekspedisinya beliau menghadapi cabaran dan kenangan manis termasuk lapan kali dilanda ribut - tiga daripadanya di pantai timur dan lima di pantai Barat di samping dapat melihat beberapa ekor penyu dan ikan lumba-lumba.

"Tanpa penaja dan alat-alat pelayaran saya bertekad untuk meneruskan cabaran itu bagi mencapai cita-cita ini," katanya.

Katanya, beliau mengunjungi 11 buah negeri semasa misi itu.

Mengenai masa depannya, beliau merancang beberapa program untuk mendayung secara solo mengelilingi Semenanjung di samping Sabah dan Sarawak pada tahun hadapan.


Beliau juga akan berdayung kenu dari Malaysia Ke Gaza, Palestin sejauh 16,000 kilometer sempena Tahun Melawat Kedah 2016.

Mohd Rawi berkata, beliau bangga dengan pengorbanan anak kelahiran Kedah itu dan kerajaan negeri sedia membantu Nadzeri untuk memudahkan beliau melaksanakan misinya di masa hadapan.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Pendayung Solo Tamat Misi Keliling Semenanjung Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top