Latest News

Tuesday 24 March 2015

Perpustakaan Kedah Terima 18 Buah 'Playaway' Untuk Kegunaan OKU



Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah menerima 18 buah 'Playaway' atau buku audio sumbangan Lincoln Resource Center Kuala Lumpur bagi membantu Orang Kurang Upaya (OKU) untuk membaca dan mendapatkan maklumat di dalam bentuk audio.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kesenian, Kebudayaan, Warisan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Aminuddin Omar berkata penyerahan 'playaway' itu mampu memenuhi keperluan maklumat yang diperlukan oleh golongan OKU dalam menambahkan ilmu pengetahuan.

Alat berkenaan membolehkan mereka mendapatkan pelbagai maklumat mengenai sejarah dan biodata pemimpin Amerika, serta boleh digunakan untuk mempelajari bahasa Inggeris, katanya.

"Dalam era globalisasi ini, kerajaan menggalakkan seluruh rakyat termasuk golongan OKU untuk mengaplikasikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Dengan adanya 'Playaway' ini, ia mampu memenuhi keperluan maklumat yang diinginkan oleh mereka," katanya selepas merasmikan Majlis Perasmian 'Playaway' itu di Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah di sini, Isnin.

Sementara itu, Aminuddin berkata dia berharap semua pihak dapat membantu membangunkan dan menyediakan segala kemudahan yang diperlukan oleh golongan OKU dalam memastikan mereka dapat bergerak dan menjalankan kehidupan harian tanpa batasan.

"Penyediaan fasiliti sangat penting bagi membantu golongan OKU untuk menjalani kehidupan yang lebih berkualiti. Pihak kerajaan negeri sendiri telah mengambil beberapa inisiatif untuk meningkatkan status golongan OKU antaranya pendaftaran OKU yang bertujuan untuk mengenal pasti bilangan sebenar mereka di dalam negeri.

Bancian itu adalah bagi membantu kerajaan membuat perancangan dari segi perkhidmatan serta program pemulihan, latihan, rawatan dan penyediaan kemudahan," katanya.

Beliau berkata, walaupun peratus golongan OKU adalah kecil, pihak kerajaan negeri tidak ingin melihat mereka terpinggir dan didiskriminasi.

Lincoln Resource Center Kuala Lumpur menyediakan koleksi khas maklumat mengenai Amerika Syarikat kepada perpustakaan negeri dalam usaha untuk memberitahu orang ramai tentang Amerika dari sudut perniagaan, pendidikan, sejarah dan budaya dan topik lain untuk menggalakkan persefahaman dan hubungan yang lebih kukuh antara Malaysia dan Amerika.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Perpustakaan Kedah Terima 18 Buah 'Playaway' Untuk Kegunaan OKU Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top