Latest News

Saturday, 14 March 2015

Ucapan Penuh Presiden Umno Di Konvensyen Umno Kedah 2015



YAB PRESIDEN UMNO
DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK
KONVENSYEN UMNO NEGERI KEDAH

14 MAC 2015

BAHAGIAN I : DUA PETIKAN AL-QURAN BERHUBUNG KEBERSATUAN DAN PERPADUAN

1. Mengawali segalanya, marilah kita memetik beberapa mafhum firman Allah SWT dalam Quran yang menganjurkan kebersatuan dan perpaduan melalui surah Ali Imran ayat 103:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah yakni agama Islam dan janganlah kamu bercerai-berai atau berpecah belah”.

Selanjutnya, dalam pengertian surah Al-Hujurat ayat 10 pula menyatakan bahawa:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara, kerana itu, damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah SWTsupaya kita semua mendapat rahmat”.

BAHAGIAN II : MUKADIMAH

Saudara dan Saudari Sekalian

2. Alhamdulillah, marilah kita merafakkan setinggi-tinggi puji-pujian dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah rahmat dan keizinan-Nya jua, dapatlah saya selaku Presiden UMNO, bertemu dan berhimpun dalam Majlis Perasmian Konvensyen UMNO Kedah 2015.

3. Tentunya, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., selaku pemimpin ikutan, yang menjadi suri teladan serta dimuliakan pada sepanjang zaman

4. Selanjutnya, saya ingin merakamkan berbanyak-banyak terima kasih dan penghargaan kepada Badan Perhubungan UMNO Kedah, kerana sudi menjemput saya pada konvensyen yang penuh bermakna ini.

5. Sesungguhnya, Konvensyen UMNO Negeri Kedah ini amat signifikan dan tepat masanya, dalam usaha berterusan kita untuk melakukan islah, transformasi demi transformasi kepada UMNO tercinta, yang menjadi parti tunjang utama kepada ‘survival’ umat Melayu dan Bumiputera serta rakyat Malaysia keseluruhannya.

6. Bertepatanlah dengan tema konvensyen UMNO Kedah pada kali ini, “UMNO Tonggak Transformasi”.

Saudara dan Saudari Sekalian,

7. Jika dihitung dan dicongak kembali, pada 11 Mei ini, parti bertuah ini akan menyambut Hari Ulangtahun UMNO ke-69, sudah berusia lebih enam dekad. Selama itu, partiberkeramat ini sudah bertapak kukuh, melangkah jauh, menempuh pelbagai onak dan ranjau serta cabaran berliku, demi membela dan memartabatkan perjuangan orang-orang Melayu dan Bumiputera khususnya serta rakyat di negeri Kedah dan Malaysia secara umumnya.

8. Perlu diingat, sepanjang tempoh tersebut juga UMNO telah membuktikan keupayaannyadengan menempa pelbagai kejayaan dan rekod kegemilangan, hingga menjadi kebanggaan rakyat dan negara Malaysia dan tersohor di seluruh dunia.



BAHAGIAN III : PENGIKTIBARAN DAN SENARIO POLITIK NEGERI KEDAH

Saudara dan Saudari Sekalian,

9. Hakikatnya, Kedah mempunyai sejarah yang kuat dalam perjuangan UMNO dan Perikatan yang kemudiannya menjadiBarisan Nasional. UMNO dan Barisan Nasional telah bertapak di negeri Kedah sejak pilihan raya umum pertama diadakan. Dalam Pilihanraya Umum tahun 1959, Parti Perikatan/Barisan Nasional telah memenangi kesemua 24 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 12 Kerusi parlimen.

10. Kemudiannya, penguasaan ini berterusan sehingga pada Pilihanraya Umum ke-12 tahun 2008 yang lalu, di mana Barisan Nasional hilang penguasaan terhadap kerajaan negeri. Pada ketika itu,negara benar-benar dikejutkan dengan peralihan kerajaan negeri bukan sahaja di Kedah, malah ia turut berlaku di Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

11. Meskipun demikian, dalam konteks Kedah, kekalahan itu telah menjadi pemangkin kepada semangat baharu bagi UMNO di negeri ini. Mereka telah bangkit semula setelah kekalahan teruk dengan hanya 4 kerusi parlimen dan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum 2008, untuk memenangi 10 daripada 15 kerusi parlimen dan 21 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya umum 2013.

12. Justeru, ia memberikan gambaran serta isyarat yang cukup jelas bahawa betapa UMNO dan Barisan Nasional di negeri Kedah tidak alpa dan terus kekal berjuang demi kepentingan rakyat. Ia juga satu indikator bahawa keikhlasan yang ditunjukkan oleh pimpinan UMNO itu sendiri telah berjaya meyakinkan rakyat untuk kembali memilih UMNO dan Barisan Nasional.

13. Namun, kita juga perlu sedar bahawa kuasa besar dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah kerajaan adalah rakyat yang menjadi pengundi itu sendiri. Apatah lagi, rakyat kini disajikan dengan pilihan antara Barisan Nasional dengan pakatan parti-parti pembangkang.

14. Tambahan, kerja keras kita dalam memenuhi harapan dan hasrat rakyat boleh dibuktikan melalui senarai semak serta lembar catatan. Malahan, kelemahan yang jelas terbukti dalam pakatan parti-parti pembangkang juga diketahui umum, realitinya rakyat membuat keputusan berdasarkan penilaian mereka sendiri.

BAHAGIAN IV : UMNO TONGGAK TRANSFORMASI

Saudara dan Saudari Sekalian,

15. Seperti yang telah saya sebutkan sebentar tadi, tema Konvensyen UMNO Kedah 2015 ialah, “UMNO Tonggak Transformasi”. Saya menyeru supaya pimpinan UMNO di negeri ini untuk turut berubah dalam mengorak langkah yang lebih jitu demi memantapkan lagi parti dan mengukuhkan sokongan rakyat kepada kita. Janganlah kita terus dibuai mimpi dek kejayaan menawan semula negeri ini, sebaliknya bentukkan satu pengislahan baru untuk menghadapi perubahan citarasa rakyat yang semakin pelbagai. Perubahan inilah yang telah membentuk cabaran baharu buat UMNO pada masa kini dan akan datang.

16. Jadinya, transformasi ini tidak seharusnya memberi fokus kepada kepimpinan tertinggi sahaja, malahan ia harus digarap dan disemai di peringkat akar umbi parti ini sendiri.

17. Oleh itu, perubahan yang ingin dicapai ini, perlulah selari dengan perjuangan UMNO itu sendiri iaitu memastikan UMNO terus signifikan kepada rakyat. Sikap sombong, bongkak, maki-hamun serta gila kuasa seumpama warlordperlu dikikis demi untuk memelihara kejayaan yang telah dikecapi pada PRU Ke-13.

18. Seterusnya, hormatilah pemimpin-pemimpin terdahulu, kerana mereka telah berjuang bersungguh-sungguh untuk parti dan rakyat. Mungkin zaman mereka sudah berlalu, tetapi ilmu kepimpinan mereka amat bernilai untuk dipelajari.

19. Selain itu, hubungan erat juga perlu dikekalkan dengan penjawat awam dan badan-badan sukarela. Perlu diingat setiap langkah dan tutur kata kita dinilai oleh mereka.

20. Lanjutan itu, gerak kerja yang baik juga perlu disusun untuk mengenalpasti strategi musuh supaya mudah untuk kita mengatur serangan dan juga pertahanan. Janganlah pula strategi diatur untuk menyerang kawan sendiri. Tidakkah ia akan merugikan parti ini sendiri? Dalam ucapan penggulungan sewaktu Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas, saya ada menyebut, ‘friendly fire is not friendly’.

21. Ketahuilah, kebangkitan semula UMNO di Kedah adalah hasil kerjasama erat antara pemimpin lama dan baharu. Kesefahaman dan kesepakatan yang diwujudkan, tanpa unsur cantas mencantas menjadikan Kedah kini sebuah negara yang Aman dan Makmur. Melalui kerjasama yang erat inilah yang telah berjaya membawa kembali pengundi-pengundi Melayu kepada UMNO pada PRU 13 yang lalu.

22. Sebagai contoh, kita telah berjaya memenangi 367 daripada keseluruhan 672 Pusat Daerah Mengundi dalam PRU ke-13, berbanding hanya 283 Pusat Daerah Mengundi yang kita menangi dalam PRU ke 12. Malahan,dengan pendekatan berhemah dan lebih mesra rakyat disokong pula dengan winnable candidate, kita berupaya mendapatkan kemenangan di kawasan-kawasan yang mana kita telah kalah sebelum ini.

23. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh terlalu selesa dengan kejayaan inikerana masih terdapat margin perbezaan undi yang amat kecil di sesetengah kawasan. Sebagai contoh, ada kerusi parlimen yang kita menang dengan majoriti undi tak sampai 200 undi. 

24. Walaupun begitu, kemenangan dengan jumlah kecil itu tetap satu kemenangan, tetapi harus diingat, jumlah yang kecil itu juga mungkin akan hilang dari genggaman kita andai kita terus alpa. Justeru, ramuan kita hendaklah terus diperkasa di samping perlu dikenalpasti pendekatan-pendekatan baharu bagi memastikan usaha mendekati rakyat terus diperkemas serta ditingkatkan.

BAHAGIAN V : 6 AGENDA TONGGAK TRANSFORMASI

Saudara dan Saudari Sekalian,

25. Sememangnya, sejak dahulu, kini dan akan datang, UMNO tetap melindungi kesucian agama Islam, membela untung nasib dan masa depan umat Melayu sertaBumiputera dan rakyat malaysia secara umumnya.

26. Jika sebelum ini, pada 28 Februari yang lalu, saya telah menyampaikan 7 amanat penting yang harus dijunjung oleh orang-orang Melayu untuk kekal menjadi bangsa yang kuat, hebat, bermaruah dan diberkati oleh Allah SWT. Justeru, pada Konvensyen UMNO di Kedah ini, dalam merencana dan mempastikan kesinambungan sertakeberterusan kepemimpinan UMNO pada masa hadapan, saya ingin menyatakansekurang-kurangnya 6 agenda tonggak transformasi yang perlu kita laksanakan segera, bermula dari sekarang di negeri Kedah ini.

27. Agenda Pertama: UMNO wajib memperjuangkan ketertinggian Islam dan syiarnya sebagai agama Persekutuan yang berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah. UMNO perlu dilihat lebih Islamik dalam memelihara dan mempertahankan kesucian Islam daripada dihina, diperlekehkan dandiinjak-injak oleh mereka yang tidak bertanggungjawab serta membawa mereka yang bersalah tersebut ke muka pengadilan.

28. Agenda Kedua: UMNO tidak perlu lagi segan dan silu, untuk menjadi lebihchampion atau juara, dalam mempertahankan kuasa Melayu,termasuk mempertahankan hak keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera. Ini termasuk kepada mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu. Seandainya, sesiapa yang cuba mengganggu apa yang telah dipersetujui oleh bapa-bapa pengasas dan para pemimpin terdahulu, kita akan mempertahankan hak kita dan melawan mereka yang cuba mempertikaikannya semula.

29. Agenda Ketiga: UMNO akan terusmemperhebatkan tindakan dan program menjurus kepada peningkatan dan penguasaan ekonomi serta ekuiti orang-orang Melayu di tanahair ini. Seterusnya, UMNO perlu terus berusaha secara tekun dan konsisten bagimelahirkan lebih ramai golongan profesional, tokoh korporat, usahawan serta ilmuwan dan agamawan di kalangan orang-orang Melayu yangterbilang di watan tercinta ini.

30. Agenda Keempat: UMNO tidak boleh tidak, perlu terus menyediakan platformatau tapak untuk anak-anak muda mengasah bakat dan menyertai UMNO secara besar-besaran demi kesimbungan parti untuk masa depan. Ini penting supaya orang-orang muda atau generasi Y ini melihat bahawa UMNO sebagai parti yang boleh diharap untuk melindungi dan membela untung nasib mereka. Di samping itu, kita sebagai pejuang dan pendokong UMNO, perlu lebih aktif dalam menampilkan nilai-nilai mahmudah yang mulia lagi terpuji supaya generasi muda belia ini akan lebih tertarik kepada UMNO.

31. Agenda Kelima: UMNO juga mestitetap menjaga kepentingan kaum wanita,membuka peluang dan akses dengan meluaskan peranan serta penglibatan mereka untuk terlibat lebih aktif dalam perjuangan parti, kerajaan dan pentadbiran negara.

32. Agenda Keenam: UMNO hendaklah terus menerus berusaha gigih, bermati-matian mempertahankan pemerintahannya di bumi Kedah dan Kerajaan Persekutuan sampai bila-bila.Kita perlu pastikan bahawa parti ini lebih dekat dengan rakyat, mendampingi mereka, mendengar denyut nadi serta membantu dalam menyediakan keperluan-keperluan yang dikehendaki oleh mereka dengan kudrat dan segala apa yang terdaya. Boleh tuan-tuan? Jika ini dilakukan, kita yakin rakyat akan terus bersama kita menyokong UMNO untuk terus memerintah negeri dan negara ini.

33. Jelasnya, kekuatan parti UMNObergantung kepada komitmen kita semua. Janganlah kita berbalah, bersengketa, dan mementingkan diri sendiri. Sebaliknya,utamakanlah kepentingan parti, bersatulah atas nama solidariti atau perpaduan, kerana rosak UMNO, maka tersungkurlahperjuangan memartabatkan agama danbangsa, demi maslahah orang-orangMelayu dan Bumiputera di tanahairnya sendiri.

BAHAGIAN VI : PENDEKATAN BERHEMAH, ISLAMIK DAN MESRA RAKYAT

Saudara dan Saudari Sekalian,

34. Sebetulnya, antara rahsia terpenting kejayaan UMNO selama ini ialah membina perpaduan dan ikatan tali silaturrahim di kalangan sesamamasyarakat, sama ada di kalangan umat Melayu serta Bumiputera, mahupun rakyat Malaysia seluruhnya.

35. Justeru, saya menyambut baik usaha kepimpinan YAB Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir yang berusaha mendekatkan diri melalui program turun padang ke segenap pelusuk negeri Kedah. Program yang dikenali sebagai Program Mesra Rakyat menjadi wadah yang baik buat kepimpinan di peringkat negeri untuk mendengar denyut nadi rakyat secara lebih santai. Saya yakin ia akan dapat membantu mengukuhkan lagi kebersatuan, kesepakatan serta solidariti.

36. Tambahan, saya difahamkan YAB Dato’ Seri Menteri Besar Kedah sendiri telah menjadi anak angkat kepada keluarga di kawasan Program Mesra Rakyat itu diadakan. Menyertai aktiviti yang dianjurkan penduduk setempat, selain tinggal bersama keluarga angkat terbabit.

37. Makanya, sebagai parti yang menegakkan agama Islam, apa yang paling penting ialah umat Islam perlu bersatu. Berpadu dalam satu ikatan saf yang kukuh dan padu. Dalam pengertianyang lain, solidariti bangsa Melayu juga adalah bermaksud solidariti ummah.

38. Oleh itu, sekalung tahniah dan syabassaya ucapkan kepada pimpinan UMNO Kedah kerana berjaya mendekatkan diri dengan institusi sekolah pondokyang sebelum ini agak tertutup untuk kita. Usaha ini perlu diteruskan dari semasa ke semasa dan tidaklah dilakukan secarabermusim sahaja.

39. Selain itu juga, jadikan kerja-kerja murni ini sebagai satu ibadah serta dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.Kita perlu bersikap terbuka dalam menerima pandangan dan pendapat masyarakat yang boleh mendatangkan manfaaat serta kebaikan kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia.

40. Semestinya, konsep bermusyawarah dan bermuafakat adalah diperlukan, bagi mewujudkan jalinan kerja yang baik di semua peringkat pimpinan UMNO bermula dari peringkat cawangan dan bahagian, hinggalah ke peringkat negeri dan persekutuan.

BAHAGIAN VII : PENUTUP

Saudari dan Saudari Sekalian,

41. Pada kesempatan ini, saya yakin dan percaya, pelbagai isu dan permasalahan akan dibangkitkan sepanjang konvensyen ini. Ini kerana setiap DUN dan Parlimen mempunyai isu dan permasalahan yang berbeza-beza. Pastinya, saya menyeru kepimpinan UMNO di Negeri Kedah ini untuk menangani setiap isu dan permasalahan secara berhemah dan teliti melalui perbincangan atau bermusyawarah.

42. Selain daripada itu, isu-isu seperti soal gerak kerja pilihan raya seperti penambahan keahlian, pengundi,jentera di peringkat Pusat Daerah Mengundi, bancian sikap oleh Jalinan Rakyat dan program mendekati pengundi-pengundi muda perlu akan turut dibahaskan.

43. Saya juga dimaklumkan, pendekatan baharu yang digunapakai oleh UMNO Kedah melalui lantikan penolong pendaftar pemilih di setiap DUNmembolehkan lebih ramai ahli baru dapat didaftarkan. Pendekatan baru sebegini juga dapat memastikan kerja-kerja mendekati dan memenangi hati pengundi akan menjadi lebih menyeluruh.

44. Justeru, memang menjadi harapan saya agar semua pemimpin di peringat negeri dapat mengukuhkan solidariti, menyatukan pemikiran, melalui gerak kerja lebih bersasar, fokus dan bertumpu serta berikhtiar gigih, demi mempastikan kesinambungan perjuangan suci ini tetap terpelihara sertateguh sama ada di negeri kedah mahupun di bumi Malaysia yang tercinta ini.

45. Akhir kalam, kepada semua ahli-ahli UMNO, marilah kita sama-sama memperkuatkan tekad, bekerja keras untuk berkhidmat kepada rakyat, demi memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-14 yang akan datang.InsyaAllah!

46. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya, merasmikan Konvensyen UMNO Kedah 2015, serta merasmikan serentak mesyuarat cawangan-cawangan UMNO Negeri Kedah.

Hidup UMNO!
Hidup Malaysia!

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

NOTA RUJUKAN TAMBAHAN

7 AMANAT PENTING DI PERHIMPUNAN PERPADUAN MELAYU

47. Hendaklah barang diketahui, di tanah air ini, kekuatan bangsa Melayu adalah tunjang kepada keamanan, keharmonian, kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyatnya yang berbilang kaum dan agama.

48. Justeru, saya ingin menyampaikan 7 amanat penting yang harus dijunjung dan dipelihara, merentasi sempadan serta fahaman politik, khusus untuk umat Melayu di negara kita.

49. Pertama: Memperjuangkan ketertinggian agama Islam dan syiarnya sebagai agama bagi persekutuan yang berasaskan
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Ucapan Penuh Presiden Umno Di Konvensyen Umno Kedah 2015 Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top