Latest News

Friday 10 April 2015

Bina Darulaman Minat Sertai Projek Lapangan Terbang Kulim


Pemaju hartanah berpangkalan di Kedah, Bina Darulaman Bhd, berminat untuk mengambil bahagian dalam projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim yang dianggarkan bernilai RM1.6 billion.

Pengarah Urusannya Datuk Idzham Yusoff berkata syarikat berminat dengan mana-mana projek di Kedah yang boleh menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan syarikat.

"Sudah tentu kami berminat. Ia (projek) di kawasan kami," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini hari ini.

Memandangkan syarikat terlibat dalam pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Alor Setar, beliau yakin Bina Darulaman berkeupayaan untuk mengambil bahagian dalam projek Lapangan Terbang Kulim..

Oleh itu, syarikat kini memanfaatkan sumber dan keupayaannya untuk membida projek tersebut.

Mengenai prospek, Idzham berkata syarikat merancang untuk melancarkan projek pembangunan bercampur di Jitra, Sungai Petani dan Kuala Ketil dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM350 juta.

"Syarikat juga akan mengemukakan tender bagi projek-projek kuari dan penyelenggaraan jalan bernilai RM100 juta," katanya.

Nilai kontrak dalam tangan Bina Darulaman kini antara RM150 juta dan RM200 juta.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Bina Darulaman Minat Sertai Projek Lapangan Terbang Kulim Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top