Latest News

Saturday 9 May 2015

Jalan Gurun - Pulau Bunting , Ramai Setuju Terima Pampasan



oleh Sinar Online 

Sebahagian besar penduduk yang terlibat dengan projek pembinaan jalan sambungan dari Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah Gurun ke Pulau Bunting, Yan bersetuju untuk menerima nilai pampasan yang ditawarkan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah, Samsudin Bakar berkata, pihaknya juga sedang dalam proses persiapan pembayaran wang kepada mereka yang berkenaan.

“Saya dimaklumkan kebanyakan penduduk yang terlibat dengan pengambilan tanah itu bersetuju untuk menerima nilai pampasan yang ditawarkan oleh pihak penilaian.

“Tetapi belum ada mana-mana pemilik tanah menerima bayaran terbabit kerana ada beberapa borang yang perlu ditandatangani terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dakwaan mengatakan terdapat lebih 1,400 penduduk tidak bersetuju dengan nilai pampasan yang ditawarkan kerana terlalu rendah adalah di luar pengetahuannya.

“Kita perlu ikut prosedur yang ditetapkan. Dalam sesuatu projek mesti ada yang setuju dan tidak setuju dengan nilai pampasan yang ditawarkan.

“Mereka yang tidak setuju kebiasaannya perlu membawa bantahan itu ke mahkamah untuk dipertimbangkan,” katanya.

Bagaimanapun, nilai pampasan itu masih boleh dinaikkan sehingga kadar 10 peratus selepas perbincangan dibuat oleh Jabatan Penilaian bersama Pejabat Tanah dan Daerah.

“Biasanya nilai pampasan itu hanya boleh dinaikkan sehingga 10 peratus, tetapi saya difahamkan kenaikan itu sudah dibuat sebelum ini,” katanya.

Mengulas mengenai saranan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Kedah berhubung projek itu, beliau menegaskan pihaknya boleh membuat bantahan sekiranya berlaku kesilapan terhadap penilaian terbabit.

“Kalau penduduk buat bantahan dari segi penilaian, JKR Kedah juga boleh buat bantahan sama kepada pihak penilaian sekiranya ada kesilapan.

“Misalnya penilaian di kawasan zon pertanian ditulis sebagai zon lain, maka kita boleh bantah kesilapan itu atas faktor tertentu,” katanya.

Samsudin berkata, projek terbabit juga mula dilaksanakan dengan memberi keutamaan kepada kerja-kerja pemasangan pembetung.

“Kita mula laksanakan projek ini di atas tanah milik kerajaan terlebih dahulu sementara menunggu proses pengambilan tanah penduduk selesai.

“Buat permulaan, kita memberi tumpuan kepada pemasangan pembetung terlebih dahulu kerana ia mengambil masa selama tiga tahun untuk siap,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan lebih 1,400 penduduk Yan yang terlibat dengan projek terbabit membantah nilai pampasan ditawarkan pihak berkenaan yang didakwa terlalu rendah iaitu sekitar RM3.80 hingga RM4.80 sekaki persegi.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Jalan Gurun - Pulau Bunting , Ramai Setuju Terima Pampasan Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top