Latest News

Sunday 10 May 2015

Kedah Makin Mantap



Artikel - Sinar Online 

BERJAYA menguasai bahagian tengah sejak lima perlawanan lalu menjadi faktor kepada lima kemenangan berturut-turut oleh Kedah seterusnya meletakkan Hijau Kuning di tangga kedua Liga Perdana 2015 selepas 10 perlawanan.

Meraih 21 mata hasil enam kemenangan, tiga seri dan satu tewas serta memungut 21 mata disifatkan oleh ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe sebagai satu momentum yang meyakinkan.

Jelasnya, kedudukan semasa pasukannya yang hanya dibezakan dua mata sahaja dengan pendahulu liga, T-Team adalah hasil usaha semua pemainnya yang berusaha untuk bangkit selepas pernah berada di tangga kelapan liga pada satu ketika.


Impak Krasniqi, Mendonca

Kehadiran pemain import baru iaitu Liridon Kranisqi dan Sandro Da Silva Mendonca di bahagian tengah nyata menyuntik momentum baru kepada pasukan selain membantu menjaringkan gol kemenangan pada beberapa perlawanan.

“Krasniqi dan Mendonca beri impak baik di tengah terutamanya ketika jumpa pasukan kuat, saya bukan sahaja berpuas hati dengan kedua-dua import ini sahaja bahkan seluruh pemain saya.

“Dari satu perlawanan ke satu perlawanan saya tengok corak permainan Kedah ada peningkatan tapi masih ada ruang perlu dibaiki lagi dalam tempoh rehat ini. Tahniah juga kepada pasukan kerana menang lima perlawanan berturut-turut kerana bukan satu perkara mudah dilakukan,” katanya.


Sentuhan penyudah Edeh

Dalam pada itu, sentuhan penyudah yang semakin meyakinkan oleh penyerang import, Chidi Edeh meledakkan lima gol setakat ini mungkin turut menjadi faktor kepada kebangkitan semula pasukan utara itu.

Peningkatan prestasi oleh Edeh ini, walaupun tidak sepopular Keith M Nah di mata penyokong Kedah yang digugurkan pada perpindahan kedua pemain April lalu, namun sekurang-kurangnya kudrat Edeh telah menyumbang kepada lima kemenangan berturut-turut sebelum liga berehat lebih sebulan.

Cheng Hoe juga boleh lega setakat ini apabila beberapa pemain mudanya juga beraksi baik apabila diturunkan sepenuh masa ataupun sebagai pemain gantian malah beberapa dari mereka seperti Syafiq Ahmad, Hanif Dzahir dan Farhan Roslan turut mencetak nama sebagai penjaring gol musim ini.

“Kedah juga tidak risau sangat sekiranya pemain utama cedera kerana barisan pemain simpanan sentiasa bersiap sedia untuk diturunkan malah perebutan kesebelasan utama yang sengit turut menyaksikan tahap permainan di kalangan mereka tidak terlalu besar dan ini bagus untuk pasukan,” katanya.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kedah Makin Mantap Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top