Latest News

Thursday 7 May 2015

Ucapan Penuh MB Majlis Forum Dan Pelancaran Buku Hak Asasi Kemanusiaan


Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi puji-pujian ke hadrat Allah S.W.T., pada pagi ini kita dapat hadir di satu majlis yang saya kira sangat besar manfaatnya kepada kita semua, iaitu Forum Hak Asasi Kemanusiaan Dalam Tradisi Islam.

Sudah tentu topik dan isu yang bakal dihujah dan dikupas sepanjang forum ini nanti akan memberikan kefahaman yang cukup jelas mengenai erti sebenar hak asasi kemanusiaan dalam konteks agama Islam dan betapa ianya diamalkan sebagaimana yang diseru oleh Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Forum kita hari ini dan buku yang diterbitkan semestinya bertujuan untuk menerangkan bahawa Hak Asasi Kemanusiaan dalam Islam telah wujud secara syumul, berdokumentasi dan praktik dalam satu Daulah Islamiah sejak Kurun Tujuh Masihi lagi. Malah “Sahifah atau Piagam Madinah” yang Rasulullah S.A.W. gubal adalah merupakan perlembagaan bertulis yang pertama dengan 47 fasal yang banyak menyentuh Hak Asasi Kemanusiaan, khususnya kebebasan, keadilan dan persefahaman hak dan hak warga negara Madinah.

Sudah terbukti bahawa Islam itu agama yang lengkap di mana ada hubungan jelas di antara Islam dan Hak Asasi Kemanusiaan. Islam adalah agama yang memberi hak yang sama kepada semua manusia, yang merentasi bangsa, warna kulit, taraf sosial dan darjat.

Hak Asasi Kemanusiaan dalam tradisi Islam memperjuangkan hak dan tanggung jawab, bukan sahaja kepada sesama Islam tetapi juga kepada orang bukan Islam, alam sekitar, haiwan, tawanan perang dan lain-lain.

Dalam Al-Quran banyak ayat-ayat yang menjelaskan perihal pentingnya Hak Asasi Kemanusiaan ditegakkan, antara lain adalah :

a.) Hak hidup dan keselamatan diri, hak memperoleh lindungan diri, kehormatan dan harta, sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-Quran, Surah Al-Maidah ayat 32, dan Surah Al-An`am ayat 151, yang intinya adalah tentang larangan membunuh tanpa alasan yang dibenarkan agama kerana manusia memiliki hak untuk hidup.

b.) Hak untuk memperoleh perlindungan diri, kehormatan dan rumah tangga, seperti firman Allah S.W.T. di dalam Surah An-Nur ayat 27-28, yang menyentuh mengenai izin masuk rumah orang lain.

c.) Begitu juga mengenai hak beragama, yakni hak asasi kemanusiaan yang paling asasi, sepertimana diterangkan dalam Surah Al-Baqarah ayat 256, Surah Yunus ayat 99 dan Surah An-Nisa ayat 47. Kesemua ayat itu menjelaskan tidak boleh memaksakan agama kepada orang lain dan perlindungan kepada semua pemeluk agama.

d.)​Seterusnya, hak memiliki hakmilik dan fungsi sosial dari hakmilik itu, seperti yang dinyatakan dalam Surah An-Nisa ayat 32, Surah Ali-Imran ayat 189 dan Surah Al-Baqarah ayat 255. Intinya bahawa manusia memperoleh hak ekonominya sesuai apa yang dihasilkannya tetapi dari hasilnya itu ada juga yang menjadi hakmilik orang lain atau berfungsi sosial, yakni yang harus diberikan kepada yang berhak menerima.

e.)​Kemudian, dalam soal hak memperoleh pekerjaan yang layak, sesuai dengan kemanusiaan. Ini terkandung dalam Surah Al-Mulk ayat 15. Intipati ayat ialah bumi diciptakan Allah S.W.T. untuk kebaikan manusia tetapi manusia harus mengambil inisiatif sendiri secara bebas untuk menentukan pilihan terhadap pekerjaannya.

f.)​Islam juga memberikan hak berfikir secara bebas, merdeka dalam memberikan pendapat serta hak memperoleh pendidikan dan pengajaran. Semua ini dinyatakan dalam Surah Al-A`raf ayat 179, Surah An-Nisa ayat 148 dan Surah At-Taubah ayat 122. Rumusannya, kebebasan manusia dalam berfikir, berpendapat dan memperoleh ilmu pengetahuan mutlak yang diberikan Allah kepada manusia tetapi ada batasan fungsi untuk umum di mana kebebasan itu berkaitan dengan kepentingan umum dalam rangka menciptakan kemaslahatan manusia itu sendiri atau kesempurnaan akhlak yang memiliki hak itu

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,

Hak Asasi Kemanusiaan adalah perjuangan jangka panjang yang perlu berdasarkan kepada nilai-nilai sesuatu kumpulan manusia. Manakala, Hak Asasi Kemanusiaan dalam konteks Islam perlu melihat kepada keseluruhan umat manusia dan bukan satu-satu kelompok sahaja.

Kayu ukurnya ialah adakah maruah seseorang manusia itu terjamin? Adakah dia akan mendapat pembelaan atau hukuman yang sewajarnya? Justeru, di Malaysia, kita perlu melihat aspek Hak Asasi Kemanusiaan dari sudut kemanusiaan keseluruhannya. Bukan berdasarkan kepada sesuatu bangsa sahaja. Kerajaan Malaysia tidak pernah menafikan hak sesuatu bangsa untuk mengamalkan adat resam, agama, malah bahasa kaum tersebut. Contohnya, penggunaan Bahasa Mandarin dan budaya orang Cina serta bahasa Tamil dan budaya orang India tidak pernah disekat.

Para hadirin yang saya hormati,

Forum ini, seharusnya membuka dialog baharu di kalangan rakyat kita bahawa Hak Asasi Kemanusiaan yang dijadikan ideologi Barat bukanlah satu monopoli mereka. Seperti yang saya nyatakan awal tadi, Hak Asasi Kemanusiaan dalam Islam telah lama wujud.

Saya berharap forum ini dapat menimbulkan kesedaran dan tercetusnya perbincangan serta pemahaman apa itu Hak Asasi Kemanusiaan. Lebih lagi, apa Hak Asasi Kemanusiaan dalam tradisi Islam.

Deklarasi Hak Asasi Kemanusiaan Sejagat , UDHR 1948, digubal ketika Negara Asia dan Islam berada di bawah penjajahan bangsa Eropah. Mereka tidak punya pengaruh atau kesan kepada pengubalan deklarasi ini. Dokumen ini didasari fahaman Liberalisma Sekular, di mana sebarang rujukan kepada Tuhan dan ilmu wahyu ditolak. Sebanyak 48 negara menandatangani deklarasi ini pada 10 Disember 1948.

Deklarasi ini dan Kovenan (Covenant) Antarabangsa lain seperti International Covenant of Civil Rights and Political Rights 1966 dan International Covenant of Economic, Social and Cultural Rights 1966 adalah tindak balas kepada kekejaman Perang Dunia Pertama dan Kedua serta penjajahan sebahagian muka bumi. Asas utamanya ialah semangat Revolusi Perancis .

Kita tidak boleh menelan bulat-bulat berita-berita media asing mengenai Hak Asasi Kemanusian kerana mereka ada agenda masing-masing. Ketika skandal Watergate melibatkan Presiden Richard Nixon di awal 70an, ada lebih 50 syarikat media yang menguasai media cetak dan elektronik di seluruh Amerika Syarikat. Sebahagian besarnya adalah media arus perdana dunia. Hari ini, hanya ada 5 syarikat gergasi media. Dalam kelompok yang kecil konglomerat media ini, ada yang berhubung kait melalui pemegang saham yang sama. Contohnya Rupert Murdoch yang menguasai syarikat-syarikat media yang berpengaruh di seluruh dunia.

Ini bermakna, ada kuasa monopoli dari segi maklumat yang disebarkan ke seluruh dunia yang membentuk pemikiran dan pendirian mengikut agenda dan nilai-nilai tertentu. Kita ambil konflik di Asia Barat sebagai contoh, lebih spesifik lagi konflik Israel-Palestine. Apabila Palestine di Gaza diserang Rejim Zionis, media antarabangsa memaparkan Israel sebagai pihak yang teraniaya dan bertindak mempertahankan diri dari keganasan Palestine. Dunia disogok dengan maklumat-maklumat beragenda dan terancang. Kuasa mutlak media ini dapat menjadikan yang “bersalah tidak bersalah” (guilty is not guilty) dan yang hitam menjadi putih.

Yang bahayanya ialah orang ramai dapat diselewengkan pemikiran dan pandangan masyarakat dunia dikaburi dari melihat kebenaran. NGO agama bukan Islam juga perlu prihatin dan bersatu dengan warga Islam dan tidak melihat ini sebagai isu yang melibatkan orang Islam sahaja.

Orang Islam dikaitkan oleh media barat sewenang-wenangnya dengan keganasan. Betapa mudah sekali mereka menyemai persepsi, malangnya sampai dapat meyakinkan masyarakat dunia, bahawa orang Islam adalah pengganas atau berpotensi untuk mengganas. Bahawa orang Islam harus ditakuti, mesti sangsi dengan mereka, apatah lagi yang berserban dan berjanggut. Itulah rupa pengganas, kata mereka.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Tanggungjawab adalah sama penting saperti hak manusia. Ada beberapa mantan pemimpin dunia saperti Malcolm Faser dari Australia dan Helmut Schimdt dari Jerman mengetuai satu usaha untuk menggubal United Nations Declaration of Human Responsibility. Hak dan tanggungjawab adalah seiring dan sejalan. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan.

Contohnya, hak untuk air bersih. Kalau ada pihak atau pemerintah yang tidak bertanggungjawab, maka rakyat tidak mendapat hak air yang bersih. Begitu juga dengan hak bersuara ada tanggungjawabnya, iaitu tidak boleh berfitnah, berbohong atau menggugat keharmonian.

Agama, terutamanya Islam, mengimbangi di antara hak dan tanggungjawab. Maka, hak dan tanggungjawab akan berdasarkan kepada nilai-nilai. Apakah nilai-nilai kita? Tidak mungkin ada acuan nilai yang sama sejagat. Persamaan memang banyak tetapi tetap akan ada perbezaan. Contoh dalam soal LGBT, persamaan gender, riba, nilai kekeluargaan, syariat dan beberapa perkara yang lain.

Kita ambil pula contoh penulis kontroversi, Salman Rushdi. Ramai di Barat mempertahankan hak dia sebagai penulis. Tetapi bagaimana pula dengan tanggungjawab beliau terhadap umat Islam? Dia tidak memikirkan nilai tindakannya. Dia tidak mempedulikan nilai-nilai yang dipegang oleh 2 billion umat Islam. Dia menghina insan yang menjadi Nabi terunggul mereka.

Kerana tidak berpegang pada nilai lah maka negara-negara Barat sanggup berperang untuk kekayaan, membunuh, menjajah dan menjarah kekayaan negara yang ditakluki. Sejarah membuktikan keganasan ini dengan begitu banyak contoh yang tidak perlu dihuraikan di sini. Persoalannya, adakah nilai-nilai Barat satu contoh peradaban yang tinggi?

Skop Hak Asasi Kemanusiaan bukan sahaja hak tetapi hak untuk mendapat perlindungan, hak keselesaan sosio-ekonomi, yang sama penting dengan hak sivil, politik dan budaya. Barat lebih mementingkan kepada hak sivil dan politik kerana agenda yang tertentu. Secara praktiknya, tidak ada negara yang boleh mencapai kelima-lima skop ini secara sempurna. Kita perlu berhati-hati mendewakan negara tertentu. Tidak perlu menjulang satu-satu negara sebagai model Hak Asasi Kemanusiaan. Sebagai contoh Amerika Syarikat. Adakah Washington menghormati Hak Asasi Kemanusiaan rakyat Palestine , Syria, Iraq dan Afghanistan?

Washington telah mengkritik Beijing dari sudut Hak Asasi Kemanusiaan dan mengeluarkan laporan tahunan indek Hak Asasi Kemanusiaan negara-negara di dunia seolah ia kuasa monopoli ke atas Hak Asasi Kemanusiaan.

China pula mengeluarkan laporan balas ke atas Amerika Syarikat, dengan mendakwa terdapat 40 juta penduduknya hidup dalam kemiskinan. Amerika juga dilaporkan sebuah negara yang paling ramai penghuni penjara. Kekejaman Amerika di seluruh negara dan kawasan tertentu juga kita sedia maklum.

Malaysia pula baik dalam Hak Asasi Kemanusiaan di bidang sosio-budaya dan ekonomi. Secara keseluruhan, Malaysia adalah satu model hubungan antara kaum dan penganut agama yang luar biasa. Ini dinyatakan oleh ramai pemerhati, cendekiawan, ahli akademik, pemimpin dan orang perseorangan antarabangsa yang kagum dengan keharmonian antara kaum yang begitu berbeza dari segi bukan sahaja kaum dan asal usul, tetapi agama di Malaysia.

Perkara ini menyerlah apabila kita bercakap dengan pelawat luar negara atau kita sendiri melawat atau mendengar berita negara-negara yang berkonflik, terutamanya yang sebangsa dan seagama.

Pembangunan pesat negara sejak 1970an telah berjaya menurunkan kadar kemiskinan kepada satu tahap yang hampir luput dengan kadar pengangguran pula di bawah 3 peratus iaitu kadar di mana semua warganegara yang ingin berkerja sudah ada pekerjaan (full employment). Malah, ada lebih daripada lima juta pekerja asing yang datang mencari rezeki di sini dengan izin atau tanpa izin.

Secara keseluruhannya, rakyat berada dalam keadaan jauh lebih selesa berbanding generasi sebelum ini dan perbezaan ini dapat dilihat dan dirasai oleh semua lapisan masyarakat . Usaha untuk mengurangkan jurang perbezaan sosio-ekonomi dan pendidikan di antara kaum melalui Dasar Ekonomi Baru juga mendatangkan hasil walaupun ada kekurangan yang perlu diperbaiki.

Akhirnya , yang menjadi kayu ukur adalah "the dignity of the human being”. Adakah setiap manusia dimartabatkan seperti yang Allah S.W.T. janjikan?

Kesimpulannya, saya percaya bahawa jika kita di Malaysia mengamalkan toleransi dalam kesepakatan antara kaum, saya percaya negara kita akan terus maju ke hadapan dan mampu menjadi sebuah negara teladan kepada negara yang lain. Dalam perpaduan yang wujud hasil daripada toleransi ini, saya yakin pertumbuhan ekonomi di negara ini yang membawa keselesaan kepada rakyat adalah pra-syarat untuk sebuah demokrasi yang utuh dan bukan sebaliknya.

Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Forum dan melancarkan Buku Hak Asasi Kemanusiaan dalam Tradisi Islam.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Ucapan Penuh MB Majlis Forum Dan Pelancaran Buku Hak Asasi Kemanusiaan Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top