Latest News

Monday 22 June 2015

ASEAN PERLU MEKANISME KOLEKTIF BENDUNG KEJATUHAN NILAI MATA WANG SERANTAU



Oleh Md Shukri Shuib

Penurunan kadar tukaran mata wang Malaysia berbanding mata wang negara lain mutakhir ini menimbulkan kebimbangan mengenai tercetusnya satu lagi kegawatan ekonomi.

Ada penganalisis menyatakan pertentangan politik antara Tun Dr Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Sri Najib Abdul Razak menjadi penyebab turunnya nilai RM di pasaran mata wang antarabangsa.

Walau apa sebab sekali pun, kestabilan nilai mata wang harus dipulihkan. Tiada sesiapa berhak gembira dengan kejatuhan nilai RM masa kini. Kejatuhan RM bukan sesuatu kebanggaan kepada Malaysia untuk dijadikan bahan publisiti politik.

Kita tidak boleh menafikan bahawa kejatuhan nilai mata wang boleh menggugat ekonomi negara dan dunia. Bank Dunia dilaporkan telah mengeluarkan amaran bahawa pengukuhan dollar Amerika Syarikat boleh mengancam prestasi ekonomi dunia.

Justeru, kali ini negara termaju di Asia Tenggara iaitu Singapura yang dikatakan cukup kuat kuasa ekonomi mereka di peringkat antarabangsa turut tidak terlepas dari gugatan ke atas mata wang mereka. Jika benar Singapura telah menggunakan S$45.6 bilion (RM124 bilion) bagi mempertahankan nilai dollar Singapura (S$) maka ia menggambarkan bahawa kejatuhan nilai mata wang mula menggugat ekonomi dunia.

Langkah Singapura itu dikatakan menyebabkan berlaku penurunan kadar rizab Singapura hanya ke tahap AS$34 bilion (RM127.4 bilion) sejak Julai 2014. Ini menunjukkan kesan besar penurunan nilai mata wang pada negara yang menjadi 'mangsa' rejim pertukaran mata wang dunia.

Rizab China juga jatuh hingga mencecah AS$150 bilion (RM564 bilion) yang menyebabkan mata wang China iaitu Yuan hampir mengalami kejatuhan nilai berbanding AS$.

Di ASEAN, Thailand dan Filipina serta Malaysia telah menerima kesan kejatuhan nilai mata wang negara masing-masing berbanding dolar Amerika Syarikat. Taiwan juga mengalami nasib sama seperti kebanyakan negara ASEAN.

Kerajaan perlu bertindak mengenakan semula tambatan nilai Ringgit Malaysia (RM) berbanding Dollar Amerika Syarikat (US$) atau melakukan satu "perikatan tambatan matawang" secara serantau bagi membolehkan kadar RM stabil ke paras yang munasabah dan tidak lagi mengalami penurunan.
Kaedah "perikatan tambatan matawang secara serantau" sesama anggota ASEAN mampu bertindak secara kolektif bagi saling membantu mengekalkan nilai mata wang serantau. Gabungkan rizab tukaran mata wang seluruh negara ASEAN bagi mewujudkan satu "stok penimbal" mata wang.

Jika penurunan nilai RM berterusan maka kos pengimportan barangan akan naik maka barangan keperluan masyarakat mungkin juga akan menerima kesan.

Memanglah ada menyatakan bahawa kita perlu menjadi negara pengeksport atau 'penjual' antarabangsa. Secara patriotiknya memanglah kita hendak menjadi pengguna kepada barang keluaran tempatan seratus peratus dan juga kita hendak menjadi penjual segala produk negara kepada dunia. Jika boleh kita tidak perlu mengimport atau membeli apa jua barangan negara asing dan dibawa masuk ke Malaysia. Adakah secara praktikalnya kita benar-benar mampu berdikari sedemikian rupa?

Kita adalah negara dagangan dunia. Maknanya pasaran kita bergantung rapat pada jual dan beli produk serta perkhidmatan antarabangsa.

Kita harus akui bahawa Malaysia masih banyak bergantung pada pembelian barangan dari luar negara bagi menampung keperluan semasa negara. Jadinya proses jual beli antarabangsa ini juga banyak bergantung bukan sahaja pada mata wang tapi pada berapa kadar nilai tukaran mata wang sesebuah negara di pasaran mata wang antarabangsa. Sebab itu kita perlu prihatin pada kadar tukaran mata wang negara kita.

Walaupun ada pihak menyatakan bahawa kejatuhan nilai RM ini akan memberikan impak yang baik bagi Malaysia kerana secara perbandingannya ia akan menjadikan Malaysia sebagai 'destinasi murah' dari aspek kos pelancongan antarabangsa serta mampu menjadikan Malaysia hub membeli belah dengan penurunan kadar tukaran RM berbanding mata wang lain dunia.

Hakikatnya penurunan nilai RM akan menambahkan kos kepada masyarakat di dalam negara sendiri.
Apa guna jika negara mendapat 'pendapatan' atau kemasukan dana RM104 bilion dari industri pelancongan tetapi jutaan rakyat menghadapi kesan negatif dari kejatuhan nilai RM. Jika objektif kerajaan mahukan Malaysia menjadi 'negara murah' bagi orang asing, saya kira kita sudah hilang fokus sebenar keperluan yang patut kerajaan utamakan.

Rakyat Malaysia menghadapi 'kehilangan nilai wang' apabila hak untuk menikmati kadar tukaran RM berbanding mata wang asing lain yang lebih kompetatif tidak dapat dinikmati.

Bukan Malaysia sahaja mengalami seolah gugatan penurunan nilai mata wang. Beberapa negara lain dunia termasuk rakan ASEAN sendiri turut sama mengalami penurunan nilai mata wang seperti mana di alami RM.

Jika Malaysia tidak mampu bertindak sendirian, maka melobilah untuk rakan serantau dalam ASEAN untuk secara kolektif bertindak bersama menghadapi gugatan penurunan nilai mata wang ini.
Malaysia perlu bertindak mengadakan kerjasama dengan negara-negara ASEAN bagi menetapkan kadar tukaran tetap matawang bagi keseluruhan dagangan bilateral antara sesama ASEAN.

Jika Malaysia mengadakan kadar pertukaran tetap antara negara Asean. Contohnya, tetapkan pertukaran RM kepada Dollar Singapura (S$) pada kadar RM1kepada S$2. Begitu juga antara Rupiah dgn Peso atau Rupiah dengan RM.

Saya mencadangkan ASEAN mengdakan mekanisme penetapan nilai matawang serantau sebagai langkah penstabilan ekonomi menjelang pelaksanaan Komuniti Asia Timur (EAC).

Malaysia selaku pengerusi ASEAN perlu mengadakan Persidangan Khas Gabenor Pusat dan Menteri Kewangan ASEAN bagi mencari penyelesaian kepada menamatkan risiko pertukaran matawang antarabangsa.

Jangan biarkan soal naik turun kadar tukaran mata wang menjadi polemik perdagangan. Jika kita tidak boleh mendesak IMF atau Bank Dunia untuk melakukan kawalan terhadap pasaran mata wang maka kita dikalangan negara Asean sendiri perlu berusaha mengadakan rejim kawalan menamatkan risiko kadar tukaran mata wang antarabangsa ini.

Tidakkah ASEAN masih mahu mengabaikan bahaya disebalik naik turun nilai kadar tukaran mata wang ini. Peristiwa kejatuhan mendadak nilai mata wang serantau pada 1997/98 harus dijadikan pedoman dan pengajaran pada semua pemimpin ASEAN.

Disebabkan ledakan kejatuhan nilai mata wang secara drastik, ia menimbulkan wabak kemelesetan ekonomi yang membawa kesusahan dan kemiskinan masyarakat di rantau ASEAN yang melibatkan beberapa negara utama seperti Thailand, Indonesia dan Filipina serta Malaysia hinggakan ada beberapa kerajaan dan pemimpin berpengaruh tumbang akibat rusuhan rakyat yang dilanda kesusahan dan diasak pula ledakan 'politik oportunis'.

Kejatuhan nilai mata wang mampu menjadi "senjata ekonomi" memusnahkan rakyat dan pemimpin serta menumbangkan kerajaan dan berupaya merubah sistem negara. Mata wang boleh menjadi 'senjata' pemusnah besar-besaran.

Kenaikan dan penurunan nilai mata wang bukan sahaja mempengaruhi perdagangan antarabangsa tetapi juga jika ia tidak dibentuk ia akan menjadi penyebab kenaikan kos kehidupan masyarakat dan menjadi faktor pengganggu kepada kestabilan "trifungsi sejagat" iaitu elemen politik, ekonomi dan sosial negara.

Jika ASEAN masih tidak mampu untuk menyatukan negara ASEAN bagi mewujudkan satu mata wang tunggal, maka eloklah jika ASEAN bertindak dalam kaedah yang lebih mampu dilaksanakan tanpa menjejaskan mata wang sedia ada pada setiap negara dengan hanya melakukan penetapan nilai mutlak kadar pertukaran sesama mata wang ASEAN dan boleh dikaji nilaiannya bersifat tahunan.

Gabenor Bank Pusat ASEAN wajib bekerjasama dalam satu pasukan penguasa pentadbiran kewangan serantau bagi mewujudkan mekanisme terlindung dari kesan negatif pasaran mata wang dunia.
Keazaman politik ekonomi para pemimpin negara ASEAN adalah penting bagi melindungi ASEAN dari ancaman susut nilai mata wang rantau ini.

Mekanisme tambatan mata wang secara serantau perlu dilaksanakan kerajaan negara anggota ASEAN secara kolektif bagi membina zon penampan kepada pengukuhan mata wang domestik sesama negara ASEAN. Langkah ini sekurang-kurangnya mampu meminimakan penggunaan mata wang Amerika Syarikat dalam proses transaksi urus niaga pasaran serantau.

Malaysia tidak harus membiarkan kejatuhan nilai RM mencecah prestasi terburuk sejak 1998 menghampiri kadar tukaran RM3.80 berbanding AS$1 berterusan. Kejatuhan nilai RM ini dikatakan pada kedudukan kedua terburuk selepas Rupiah Indonesia. Jangan biarkan nilai RM berterusan lemah di pasaran antarabangsa.

Saya yakin kedudukan negara kita Malaysia dengan kadar rizab tukaran mata wang asing mencecah AS$106.4 bilion (RM401.2 bilion) diyakini mampu bertindak secara kolektif bersama rakan ASEAN lainnya dalam melaksanakan satu tindakan bersama membendung kejatuhan berterusan nilai mata wang negara.

Kepakaran dipunyai Gabenor Bank Negara Malaysia bersama beberapa pakar pengurusan ekonomi dikala Malaysia mengalami krisis jatuhan nilai mata wang pada 1997/98 harus digembeleng bersama.
Bersamalah menyokong kepimpinan negara dan bersatu dalam hal melindungi kepentingan kita secara bersama bagi mempromosi pembangunan dan mempertahankan kemakmuran Malaysia.


Penulis ialah Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, UUM.




  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: ASEAN PERLU MEKANISME KOLEKTIF BENDUNG KEJATUHAN NILAI MATA WANG SERANTAU Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top