Latest News

Wednesday 3 June 2015

Polis Kenal Pasti Dalang Sindiket Pemerdagangan Manusia



Selepas lebih seminggu isu pemerdagangan manusia menjadi perhatian pelbagai pihak, polis hari ini telah mengenal pasti dalang utama sindiket itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis kini sedang menyiasat identiti lelaki itu yang dilaporkan bernama 'Yassin' yang dipercayai menjadi agen utama dalam sindiket tersebut.

Dalam laporan Bernama semalam, Ketua Polis Kedah Datuk Zamri Yahya berkata Yassin merupakan satu nama besar dan dipercayai terlibat secara langsung 'membeli' mangsa jenayah pemerdagangan manusia.

Kecekapan pihak polis mengenal pasti penjenayah dalam sindiket pemerdagangan manusia dan juga penemuan kem-kem transit di kawasan hutan Wang Kelian, Perlis oleh pihak berkuasa yang dipercayai diguna untuk menempatkan mangsa-mangsa jenayah tersebut dapat menumpaskan aktiviti jenayah yang tidak berperikemanusiaan itu.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Soiman Jahid berkata JBPM menghantar satu unit pasukan udara bagi membantu operasi membawa keluar mayat yang dipercayai mangsa aktiviti sindiket pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma bersempadan dengan Thailand.

Sejak seminggu yang lalu pasukan JBPM telah digerakkan bagi membantu memindahkan dan mengeluarkan mayat serta rangka tersebut, sebuah helikopter turut dibekalkan bagi membawa keluar rangka mayat berkenaan, kata Soiman.

Orang ramai baru-baru ini telah digemparkan dengan penemuan 139 kubur di 28 kem transit yang dipercayai ditinggalkan sindiket pemerdagangan manusia bemula di Kampung Wai, Kuala Perlis sehingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Sejumlah 35 rangka mayat yang ditemukan setakat ini sejak operasi menggali bermula 25 Mei lalu dan kesemuanya kini ditempatkan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar sebelum bedah siasat dimulakan 7 Jun nanti.

Operasi mencari dan menggali kubur fasa kedua di kem baharu dalam kawasan hutan simpan Mata Ayer, Lubuk Sireh akan bermula esok dan dipercayai 91 kubur telah dikenal pasti.

Kem tersebut terletak kira-kira 100 meter dari sempadan Thailand dan kini dikawal rapi Pasukan Gerakan Am bagi memastikan tiada pihak mencuri bahan bukti sehingga pihak forensik serta polis mengenal pasti kawasan itu.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Polis Kenal Pasti Dalang Sindiket Pemerdagangan Manusia Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top