Latest News

Wednesday 19 August 2015

Kerajaan Kedah Terpaksa Keluar Lesen Balak Kerana Kelulusan Sebelum BN Ambil Alih


Kerajaan negeri Kedah terpaksa meneruskan pengeluaran lesen penebangan balak kepada syarikat konsesi memandangkan kelulusannya sudah diperoleh sejak pentadbiran PAS, tiga tahun lepas.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, seperti diketahui, proses mengeluarkan lesen tersebut memakan masa yang panjang bermula dari proses permohonan, kelulusan, dan penandaan.

"Ia makan masa, dalam kesemua projek atau konsesi ini, kelulusan telah dikeluarkan sebelum kerajaan ini lagi, kemudian lesen itu mesti dikeluarkan setelah kerja-kerja telah diselesaikan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri tiada pilihan selain memberikan lesen terbabit bagi mengelakkan daripada disaman.

Mukhriz berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Lebai Sudin (BN-Bukit Lada) yang ingin mengetahui kenapa BN masih mengeluarkan lesen balak kepada syarikat-syarikat, sedangkan BN menetapkan untuk tidak mengeluarkan lesen penebangan balak setelah mengambil alih pimpinan daripada PAS.

Dalam pada itu, kerajaan negeri telah mengenal pasti enam lokasi melibatkan kawasan seluas 2,000 hektar bagi menggantikan kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Peranginan Wang Perah yang dicabut keluar statusnya bagi melaksanakan projek pembangunan pertanian.

Mukhriz berkata, enam kawasan itu membabitkan kawasan Bukit Saiyong, Genting Iboi, Ulu Muda Tambahan, Kemunting, Tiang Layar, dan kawasan Hutan Simpan Bukit Keramat.

Katanya, Hutan Simpan Kekal Bukit Perangin Wang Perah itu telah diberikan kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (SSI) untuk pembangunan kawasan pertanian getah berfasa, yang bukan sahaja mampu memberikan peluang kepada kerajaan, malah menyumbang kepada hasil pendapatan negeri.

Beliau berkata, surat hak milik juga sudah dikeluarkan kepada SSI dan pihaknya mendapati kawasan itu mengalami pencerobohan oleh peneroka haram.

Laporan polis sudah dibuat SSI katanya, ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Zaini Jaapar (BN-Bukit Kayu Hitam) yang ingin tahu lokasi kawasan ganti bagi Hutan Simpan Kekal Bukit Perangin Wang Perah yang dicabut keluar statusnya daripada Hutan Simpan Kekal.


bernama
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kerajaan Kedah Terpaksa Keluar Lesen Balak Kerana Kelulusan Sebelum BN Ambil Alih Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top