Latest News

Saturday 26 September 2015

Jerebu Tebal: Perlawanan Piala Malaysia Antara JDT II-Kedah Ditunda


Perlawanan Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan Kedah yang dijadual berlangsung di Stadium Perbandaran Pasir Gudang di sini esok, terpaksa ditunda berikutan jerebu yang semakin buruk.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah berkata penundaan terpaksa dibuat selepas penerbangan skuad Kedah dari Pulau Pinang pada pukul 4.45 petang tadi dibatalkan.

"Saya difahamkan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai ditutup akibat jerebu menyebabkan penerbangan ke sana dibatalkan.

"Kemungkinan perlawanan antara JDT II dan Kedah diadakan pada 29 Sept ini dengan Kedah menjadi tuan rumah terlebih dahulu," kata Afandi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM ketika dihubungi.

Kedah dan JDT II masing-masing diletak dalam Kumpulan A saingan Piala Malaysia.

Skuad Helang Merah kini mendahului Kumpulan A dengan empat mata selepas dua perlawanan, sama seperti Lions XII tetapi dipisahkan dengan kelebihan gol manakala JDT II di tempat ketiga dengan satu mata, di atas Terengganu yang turut mengutip satu mata.

Keadaan jerebu tebal memaksa empat syarikat membatalkan 21 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini awal pagi ini.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan Pasir Gudang mencatatkan tahap sangat tidak sihat iaitu 201 namun telah turun kepada 180 setakat pukul 3 petang tadi.

Keadaan jerebu teruk turut dialami di kawasan Larkin Lama dengan bacaan IPU 172 dan Kota Tinggi (123) pada pukul 3 petang.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Jerebu Tebal: Perlawanan Piala Malaysia Antara JDT II-Kedah Ditunda Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top