Latest News

Tuesday 29 September 2015

Keluarga Tahu Lebih Awal Kematian Jemaah Negara Akibat Rempuhan


Keluarga ipar Zulkifly Samad mendapat tahu lebih awal kematian Allahyarham berikutan insiden rempuhan yang mengorbankan lebih 700 jemaah haji 24 Sept lepas.

Abang ipar Allahyarham, Muhammad Shuhaimi Abd Hamid, 48, berkata maklumat tersebut diketahui daripada nenek saudaranya yang menetap di Makkah, selepas dimaklumkan jirannya yang bekerja sebagai pemandu ambulans.

"Jiran kepada nenek saudara saya berkata dia telah membawa jenazah seorang rakyat Malaysia bernama Zul ke rumah mayat Muassiem, Mina berdasarkan tag nama dan gelang tertera Tabung Haji (TH).

"Pada hari yang sama juga adik perempuan saya Suriahanim, 40, (isteri allahyarham) memaklumkan suaminya hilang selepas insiden itu," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Lorong Keramat, Langgar hari ini.

Katanya perkara itu terpaksa dirahsiakan daripada anggota keluarga termasuk anak-anak mangsa kerana perkara itu belum sahih dan perlu menunggu kenyataan rasmi yang dikeluarkan TH.

Muhammad Shuhaimi berkata pengesahan tentang kematian Allahyarham Zulkifly menerusi TH hanya diperoleh kira-kira 7.30 pagi ini selepas proses pengecaman mayat dibuat oleh isterinya.

Katanya sebelum berlepas ke tanah suci pada 21 Ogos lepas, Allahyarham Zulkifly dan Suriahanim turut memintanya menjaga anak lelaki bongsu mereka berusia dua tahun, Hasan Zakiy, sepanjang tempoh mereka menunaikan ibadah haji.

Katanya Allahyarham yang bertugas sebagai jurutera di sebuah syarikat di Cyberjaya turut meminta isterinya mengambil gambarnya dengan berpakaian ihram sehari sebelum kejadian.

Lebih 700 jemaah haji dari pelbagai negara dilaporkan terkorban dalam kejadian itu.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Keluarga Tahu Lebih Awal Kematian Jemaah Negara Akibat Rempuhan Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top