Latest News

Wednesday 16 September 2015

Tun M Menggeletar Ketika Berlakon Filem Kapsul



Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) mengakui menggeletar saat diberitahu beliau perlu berlakon dalam beberapa babak filem Kapsul sedangkan pada jangkaannya karya arahan Allahyarham Martias Ali itu menuntutnya hanya muncul sebagai cameo tanpa sebarang dialog.

Bercakap pada sidang media pada malam gala tayangan Kapsul bertempat di e@Curve, malam tadi, Perdana Menteri keempat itu berkata, beliau pada awalnya berasa kurang senang apabila disuruh berlakon memandangkan lakonan adalah sesuatu yang belum pernah dilakukannya.

Namun, beliau bersetuju kerana tertarik dengan konsep filem tersebut yang menyelitkan unsur sains fiksyen.

Tambah membuatkan beliau teruja ialah kerana filem ini menceritakan tentang diri beliau sendiri mengenai kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanamnya di Monumen Putrajaya semasa pentadbirannya.

"Saya disuruh berlakon. Pada mulanya saya rasa tak senang sebab saya tak pernah berlakon. Sesuatu yang saya tidak pernah buat.

"Tapi saya bersetuju kerana filem ini lain daripada yang lain, ada unsur sains fiksyen dan ia bercerita tentang diri sendiri," katanya sambil tertawa kecil.

Tun M bersetuju menjayakan filem Kapsul selepas setahun filem tersebut menjalani penggambaran.

Berkongsi serba sedikit pengalaman di set penggambaran, Tun M berkata, dia hanya mengambil masa beberapa minit sahaja untuk berlatih mengingati dialognya menerusi babak beliau bersama teraju utama filem tersebut iaitu Faizal Hussein.

"Sewaktu hari penggambaran baru lah saya diberitahu saya kena berlakon. Saya mengeletar sebab saya tak pernah buat kerja-kerja berlakon. Saya hanya ada beberapa minit saja untuk berlatih ingatkan dialog.

"Tak patut depa (mereka - pihak produksi) buat saya macam tu. Saya minta depa bayar saya tapi depa tak bayar saya satu sen pun" tuturnya dengan nada bergurau.

"Saya tidak tahu apa penilaian dan bagaimana dengan lakonan saya, bagus atau tidak. Tapi sekurang-kurangnya selepas ini, saya boleh beritahu orang yang saya sudah jadi pelakon.

"Tapi secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan filem ini. Ia menceritakan tentang perjuangan orang Melayu dahulu dari satu zaman ke satu zaman lain dan rintihan mereka berkenaan nasib anak cucu dan negara pada masa depan.

"Saya rasa filem sebegini perlu diperbanyakkan kerana generasi sekarang kurang tahu mengenai sejarah. Jadi filem ini dapat mendidik dan memupuk semangat jiwa orang Melayu terhadap masa depan anak mereka," tambahnya lagi.

Tun M dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah bersama barisan pelakon Kapsul, pada malam gala yang diadakan bertempat di e@Curve, Damansara, malam tadi.

Kapsul dibintangi pelakon berpengalaman, Faizal Hussein serta barisan pelakon lain seperti sebagai cameo antaranya Datuk Rahim Razali, jutawan Internet, Irfan Khairi, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Jue Aziz, Shahronizam, Zamarul Hisham, Haeriyanto Hassan, Fadhilah Mansor, Joey, Aman Graseka dan Adam Corrie Lee.

Filem ini membelanjakan kos sebanyak RM2.3 juta terbitan Two Tones Sdn Bhd dan akan mula ditayangkan di pawagam seluruh tanah air mulai 17 September ini.

- mD
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Tun M Menggeletar Ketika Berlakon Filem Kapsul Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top