Latest News

Wednesday 9 September 2015

Tuntung Produk Pelancongan Baru Kedah - Exco


Tuntung, kumpulan reptilia seperti penyu, labi-labi dan kura-kura, akan menjadi produk pelancongan terbaru Kedah sempena Tahun Melawat Kedah 2016.

Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan, Warisan dan Kerja Raya Negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata terdapat enam spesis tuntung di dunia dan Kedah mempunyai dua daripadanya iaitu tuntung laut dan tuntung sungai.

Empat lagi spesis tuntung, katanya, sedang dirancang untuk dibawa ke negeri itu menerusi kerjasama dengan Vietnam, India, dan Filipina yang mempunyai spesis tuntung tersendiri.

Mohd Rawi berkata bagi memastikan populasi tuntung di Kedah meningkat, kerajaaan negeri, Tourism Kedah dan Jabatan Perhilitan mengambil inisiatif melepaskan tuntung ke habitat asal.

Katanya, pelancong boleh melihat dengan lebih dekat reptilia tersebut, antaranya di Sungai Kuala Muda, Sungai Kedah dan Sidam serta Sungai Petani.

Malah menurutnya, sebanyak 300 tuntung dijangka dilepaskan di ketiga-tiga sungai itu setiap tahun.

"Kita percaya tuntung mampu menarik minat pelancong terutama dari China dan Jepun," katanya kepada pemberita selepas hadir di Majlis Pelepasan Tuntung Diraja ke habitat asal Sungai Anak Bukit, hari ini.

Kedah ketika ini, kata Mohd Rawi, mempunyai sebuah Pusat Penetasan Tuntung di Bukit Pinang yang bertujuan memulihara dan memastikan populasi reptilia itu tidak pupus.

Mohd Rawi berkata Perhilitan akan memantau tuntung yang dilepaskan, menerusi cip yang dipasang bagi mengesan kedudukan mereka.

"Setiap tuntung yang dilepaskan mempunyai tanda di atas cengkerang selain cip yang disertai dengan nombor siri disuntik ke dalam badan tuntung bagi memudahkan proses mengesan menggunakan alat pengimbas," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah melepaskan dua tuntung di Sungai Anak Bukit, di sini sebagai simbolik menyokong usaha menambah populasi tuntung di Kedah.

Turut sama melepaskan tuntung ke habitat asal ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir. Sebanyak 150 tuntung telah dilepaskan hari ini.

--BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Tuntung Produk Pelancongan Baru Kedah - Exco Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top