Latest News

Wednesday 30 December 2015

Isu Kesesakan Jeti Kuala Kedah Akan Diatasi - Exco


Kerajaan negeri masih dalam proses perbincangan sama ada mahu membina jeti di kawasan baharu atau memperluaskan Jeti Kuala Kedah sedia ada untuk ke Langkawi, kata Exco Pelancongan Datuk Mohd Rawi Abd Hamid.

Beliau berkata peruntukan sebanyak RM80 juta telahpun disalurkan kerajaan pusat untuk pembangunan Jeti Langkawi, namun tumpuan utama sekarang adalah menambah baik keperluan dan kemudahan di Jeti Kuala Kedah bagi keselesaan pelancong.

Kerajaan negeri katanya sedar keadaan Jeti Kuala Kedah yang sesak, selain tiket feri tidak mencukupi setiap kali musim cuti persekolahan sehingga ada yang terpaksa tidur di jeti.

Kelmarin, ribuan pelancong terkandas di Jeti Kuala Kedah dan Langkawi berikutan tiket perjalanan antara kedua-dua destinasi itu kehabisan ekoran pertambahan pelancong ke pulau bebas cukai tersebut.

"Prasarana sudah ada, cuma kita perlu perbaiki apa yang perlu dan akan menambah dan menyusun semula perkhidmatan feri demi keselesaan pelancong kerana kita tidak mahu pelancong pulang dalam keadaan tidak gembira," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Rakan Discovery Kedah 2016' di sini Isnin.

Rakan Discovery Kedah 2016 dilancarkan Tourism Kedah dengan kerjasama Kelab Sukan Bermotor Kedah bagi membantu mempromosikan negeri ini sempena Tahun Melawat Kedah 2016.

Sebanyak tiga kereta pacuan empat roda akan menjelajah ke 12 daerah di Kedah dalam tempoh lima hari bermula hari ini bagi mendapatkan tandatangan sokongan daripada masyarakat di setiap daerah.

Menurut Mohd Rawi konvoi itu akan berakhir pada 1 Jan ini serentak dengan majlis pelancaran Discovery Kedah 2016 yang akan dilancarkan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Beiau berkata mana-mana individu yang mendaftar menjadi 'Rakan Discovery Kedah 2016' akan dilantik menjadi duta pelancongan negeri yang rasmi, berperanan membuat hebahan maklumat pelancongan selain diberi keutamaan dalam acara pelancongan anjuran kerajaan negeri.

"Orang awam yang ingin mendaftar menjadi 'Rakan Discovery Kedah 2016' boleh mengambil borang penyertaan di Pejabat Tourism Malaysia Kedah," katanya.



-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Isu Kesesakan Jeti Kuala Kedah Akan Diatasi - Exco Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top