Latest News

Tuesday 1 December 2015

Kedah Minta Pandangan Jawatan Kuasa Fatwa Mengenai Penjualan Vape



ALOR SETAR, 30 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri akan bermesyuarat dengan Jawatankuasa Fatwa Negeri sama ada mahu mengharamkan penjualan rokok elektronik (vape), kata Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Datuk Mohd Rawi Abd Hamid.

Beliau berkata walaupun Kedah telah mengharamkan vape, namun kerajaan negeri tidak akan tergesa-gesa mengharamkan penjualannya.

Katanya langkah awal yang akan diambil ialah memberi amaran dan penerangan mengenai penjualan vape.

"Mungkin kita terangkan dulu. Misalnya yang bercadang meniaga vape jangan meniaga, yang sudah cadang berniaga fikirlah mengenai cadangan lain, sementara yang sudah berniaga, jangan perkembangkan perniagaan mereka," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Sebelum ini Mufti Kedah Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad menyarankan supaya kerajaan negeri mengharamkan penjualan vape dan kayu shisha agar sejajar dengan keputusan mengharamkan menghisap vape dan kayu shisha.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah pada 23 Nov lalu memutuskan hukum menghisap vape dan kayu shisha adalah haram kerana akan menyebabkan kemudaratan dan pembaziran kepada masyarakat Islam.

Mohd Rawi berkata beliau juga akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk memberi penerangan kepada peniaga vape berkenaan pengharaman tersebut.

"Ini adalah masalah hukum. Bila kita bagi amanah kepada jawatankuasa yang menjaga hal ehwal agama dan apabila jawatankuasa putuskan ia tidak boleh, kita kena reda dengannya," katanya.

Beliau berkata fatwa pengharaman masih menunggu untuk digazet sebelum langkah penguatkuasaan boleh diambil di bawah Undang-Undang Jenayah Syariah.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kedah Minta Pandangan Jawatan Kuasa Fatwa Mengenai Penjualan Vape Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top