Latest News

Wednesday 2 December 2015

KFA Sambung Kontrak Chidi Sehingga Penghujung Musim 2015




PETALING JAYA, 1 Dis (Bernama) -- Penyerang import dari Nigeria, Chidi Edeh akan meneruskan aksi bersama Kedah sehingga penghujung musim ini, kata pengurus pasukan, Datuk Jeffrey Low.

Beliau berkata walaupun khidmat Chidi tamat pada 30 Nov, pemain itu bersetuju menerima tawaran KFA untuk tempoh lanjutan sebulan lagi, terutamanya bagi membantu Kedah menghadapi Felda United pada aksi separuh akhir Piala Malaysia yang menggunakan format timbal balik pada 2 dan 6 Dis ini.

Low turut mengesahkan dua lagi pemain import Kedah, Liridon Krasniqi dari Kosovo dan Sandro Da Silva dari Brazil akan terus menyarung jersi Kedah sehingga 2017.

"Mengenai Mohd Rizal Ghazali, beliau akan terus bersama pasukan kita kerana beliau masih mempunyai kontrak sehingga 2016," kata Low ketika ditemui pemberita di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di sini, Selasa.

"Bagi pemain yang tidak disambung kontrak, kita (KFA) akan memberi tempoh sebulan kepada mereka sebelum kita menentukan nasib mereka penghujung musim ini," katanya.

Beberapa akhbar sebelum ini melaporkan dua pemain skuad Helang Merah, Mohd Rizal dan Chidi enggan menyambung kontrak bersama Kedah selepas dikatakan hanya ditawarkan kontrak lanjutan selama sebulan, sehingga penghujung musim ini.

Laporan berkenaan dikatakan menjejaskan persiapan skuad Helang Merah terutamanya bagi aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Felda United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, esok.

Mengulas lanjut, Low berkata KFA sedang mempertimbangkan sama ada menyambung khidmat seorang lagi pemain import Kedah, Bang Seunghwan dari Korea Selatan pada saingan Liga Malaysia musim depan, selepas dikatakan gagal menyerlah dalam saingan liga, musim ini.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah berkata pemain dari empat pasukan yang mara ke separuh akhir Piala Malaysia, yang sudah menandatangani kontrak bersama pasukan baharu musim depan, masih boleh mewakili pasukan masing-masing.

Beliau, bagaimanapun mengingatkan pemain daripada pasukan lain yang menyertai empat pasukan berkenaan musim depan iaitu Felda United, Kedah, Pahang dan Selangor, tidak dibenarkan beraksi dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia 2015.

Keputusan berkenaan dicapai selepas beliau mengadakan pertemuan dengan empat wakil pasukan tersebut di Wisma FAM, hari ini.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: KFA Sambung Kontrak Chidi Sehingga Penghujung Musim 2015 Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top