Latest News

Monday 4 January 2016

Australia Muncul Juara Keseluruhan Kejohanan Remaja ISAF 2015



LANGKAWI, 3 Jan (Bernama) -- Australia muncul juara keseluruhan Kejohanan Layar Remaja Dunia Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) 2015 yang berakhir di sini, hari ini.

Negara itu yang hanya menduduki tangga ketujuh dalam kejohanan edisi 2014 di Tavira, Portugal merampas kejuaraan berkenaan daripada juara bertahan Sepanyol manakala New Zealand di tempat kedua dan Perancis ketiga.

Pencapaian Australia itu berdasarkan kedudukan kelompok lima terbaik pada setiap kategori yang dipertandingkan yang menyaksikan pelayar mereka, Alistair Young muncul juara kategori Laser Radial Lelaki.

Gandingan Nia Jerwood dan Lisa Smith turut menyumbang kepada kejayaan Australia apabila menduduki tempat kedua keseluruhan bagi acara 420 Wanita.

Malaysia sebagai tuan rumah menduduki tempat ke-21 dari 76 negara yang mengambil bahagian.

Kejohanan seminggu itu memberi peluang kepada pelayar negara mendapat pendedahan dan bersaing dengan peserta bertaraf dunia.

Antara pencapaian terbaik Malaysia adalah menerusi Asri Azman yang menduduki tangga ke-16 acara Laser Radial Lelaki daripada 68 pelayar yang mengambil bahagian.

Gandingan Khairun Hanna Mohd Afendy dan Siti Nur Fatihah Norulkhairi turut menduduki tangga ke-16 daripada 24 penyertaan bagi acara International 420 Wanita.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kedah yang juga Presiden Persatuan Perahu Layar Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid akan menyampaikan hadiah kepada pemenang di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) malam ini.

Seramai 424 pelayar dari 76 negara menyertai kejohanan itu yang mempertandingkan sembilan kategori lelaki dan wanita.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Australia Muncul Juara Keseluruhan Kejohanan Remaja ISAF 2015 Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top