Latest News

Monday 8 December 2014

RM1.57 juta Diagih Untuk Bantu Pesawah #Kedah


Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengagihkan wang ihsan sebanyak RM1.57 juta kepada petani di Kedah dan Perlis yang sawah mereka rosak akibat banjir bulan lepas.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Othman Aziz berkata wang itu akan diagihkan dalam masa terdekat kepada 845 petani untuk mengusahakan semula 1,792 hektar sawah padi yang rosak.

Beliau berkata pihak kementerian telah meluluskan pemberian RM876 bagi setiap hektar dan antara kawasan MADA yang terlibat ialah Wilayah 1 Kangar melibatkan 752 hektar, Wilayah II Jitra melibatkan 130 hektar dan Wilayah III Pendang melibatkan 910 hektar sawah yang rosak.

"Rata-rata anak padi yang rosak berusia 40 hari dan kebanyakan petani tidak tunggu bantuan daripada kerajaan sebaliknya mengambil inisiatif untuk tabur semula benih padi dengan menggunakan modal sendiri. Dengan wang ihsan yang bakal diagihkan, ia dapat meringankan kerugian yang dialami mereka.

"Kita bukan sahaja bantu dengan beri wang ihsan tetapi kita turut bantu dari segi pengawalan penyakit dan penyaluran bekalan air kerana mereka terlewat dari jadual penanaman padi yang telah disediakan," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Inovasi dan Jasamu Dikenang di Ibu Pejabat MADA Ampang Jajar di sini, Ahad.

Sementara itu, Othman berkata Mada Rice Training Centre (MRTC) di sini mampu untuk melahirkan petani muda yang mengusaha dan menguruskan tanaman padi dengan cara moden yang mampu meningkatkan hasil padi kepada lapan hingga 10 tan metrik sehektar.

Katanya ini kerana 60 peratus petani di bawah MADA terdiri daripada mereka yang berusia 60 tahun ke atas disebabkan generasi muda tidak berminat untuk mengusahakan sawah padi seperti ibu bapa mereka.

"Anak-anak muda yang tidak berpeluang ke pusat pengajian tinggi kita beri peluang untuk mereka mendapatkan sijil dalam pertanian. Sepanjang sembilan bulan pengajian mereka dapat mempelajari cara menguruskan sawah padi dan menguruskan jentera.

"Bila mereka keluar nanti mereka boleh menjadi pengurus estet padi, jurujual racun serangga perosak, penjual benih padi. Ada pelajar MRTC yang tamatkan pelajaran mereka telah mengambil alih tugas ibu bapa sebagai petani," katanya.

Katanya MRTC yang ditubuhkan pada 2013 juga mampu melahirkan pelajarnya yang mampu melakukan inovasi dalam bidang pertanian dan buktinya sekumpulan pelajarnya telah memperoleh pingat gangsa dalam Malaysian Agricultural Innovation Challenges (MAgIC) 2014 pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2014 di Serdang baru-baru ini.

Katanya tiga pelajar tersebut yang diketuai Mohamad Hafifi Syauqi Md Saad, 22, itu telah mencipta alat pada jentera membajak iaitu Rake Power-Tiller yang mampu menarik sisa pertanian ketika kerja-kerja membajak dilakukan.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: RM1.57 juta Diagih Untuk Bantu Pesawah #Kedah Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top