Latest News

Wednesday 7 January 2015

Bantuan Khas Awal Persekolahan Mula Diagih



KOTA BAHARU, 6 Jan (Bernama) -- Bantuan Khas Awal Persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar diagihkan mulai Selasa, dan ibu bapa boleh menuntutnya daripada sekolah anak-anak mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan berkata seramai 5.6 juta pelajar akan menerima wang bantuan berkenaan dengan peruntukan berjumlah RM560 juta.

"Kami telah bagi waran kepada setiap negeri, maka pengarah (pendidikan) negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan diberi peruntukan mengikut bilangan pelajar," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Koordinasi Pelan Tindakan Pasca Banjir Negeri Kelantan di Kota Baharu, Selasa.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Muhyiddin berkata bagi sekolah yang tidak boleh digunakan berikutan terjejas akibat banjir, ibu bapa perlu ke sekolah berhampiran yang tidak terjejas banjir untuk menuntut wang bantuan berkenaan.

"Kalau libatkan sekolah yang ditenggelami air atau diduduki mangsa banjir dan masih belum dibuka, pembayaran akan dibuat di sekolah yang tidak ada masalah.

"Kita akan guna dewan mereka (sekolah) dan ibu bapa boleh ke sekolah berhampiran (tidak terjejas banjir) untuk dapatkan wang dalam tempoh segera, arahan telah dikeluarkan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata pihaknya akan memastikan sesi persekolahan bagi tahun 2015 di Kelantan dapat dimulakan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Kita dah ada pilihan di mana jika ada sekolah yang tidak boleh digunakan, pelajar akan pergi ke sekolah berhampiran iaitu menumpang, kalau tak ada tempat tangguh untuk sedikit waktu dan ia hanya bagi kes-kes tertentu.

"Sebanyak 90 buah sekolah di Kelantan terjejas banjir dan setakat ini 30 peratus daripadanya telah dibersihkan bagi memulakan sesi persekolahan baharu," katanya.

Sesi persekolahan tahun 2015 bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor bermula 11 Jan manakala bagi negeri-negeri lain bermula 12 Jan.

--BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Bantuan Khas Awal Persekolahan Mula Diagih Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top