SEMPENA HARI KEPUTERAAN DYMM SULTAN KEDAH
DI BALAI PENGHADAPAN, ISTANA ANAK BUKIT
PADA HARI AHAD, 18 JANUARI 2015
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh
Segala puji-pujian bagi Allah SWT, selawat serta salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW dan ahli-ahli keluarganya serta para sahabat.
Mengadap
Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Temenggong Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah
Dan
Yang Teramat Mulia Datin Seri DiRaja Puan Seri Dato’ Seri Tengku Maliha Binti Tengku Ariff, Tunku Puan Temenggong Kedah
Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Laksamana Kedah, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan Yang Amat Berbahagia Datin Seri DiRaja Puan Seri Dato’ Nora Binti Abdullah, Toh Puan Laksamana Kedah
Yang Teramat Mulia Tunku Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Panglima Besar Kedah, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah
Duli Yang Amat Mulia Dato' Seri DiRaja Tunku Soraya Binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan.
Ampun Tunku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.
1. Patik bagi pihak seluruh Rakyat jelata, barisan kepimpinan dan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, pihak Badan-badan Berkanun, para anggota Pasukan-pasukan Keselamatan mohon merafak sembah tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman atas Ulangtahun Keputeraan Baginda yang ke-87.
2. Patik dan seluruh rakyat jelata amat berbangga dinaungi kedaulatan Tuanku Sultan. Patik-patik sekalian senantiasa mendoakan agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah serta kerabat DiRaja Negeri Kedah dikurniakan dan dilimpahi rahmat, kemuliaan serta kesihatan yang baik hendaknya.
3. Sesungguhnya bersemayamnya Kebawah Duli Tuanku di atas takhta selama 57 tahun, sekaligus menjadi antara Raja yang paling lama memerintah mana-mana negeri di dunia adalah hanya dengan barakah dan keredhaan Allah SWT jua.
4. Dengan bernaungnya Negeri Kedah di bawah barakah dan keredhaan itu, maka aman dan sejahteralah seluruh Rakyatnya, in shaa Allah.
Sutera songket panjang sembilan
Panjang sutera kepalanya
Tuanku laksana permata intan
Rakyat menumpang akan cahayanya
5. Ampun Tunku, sempena Majlis Menyambut Keputeraan Baginda yang ke 87 ini, patik mohon perkenan Tunku untuk menyembah laporan keadaan di Negeri Kedah Darul Aman sehingga kini, dan juga perancangan yang disusun oleh Kerajaan Negeri bagi menjamin masa depan yang cerah.
6. Suka patik laporkan bahawa keadaan keselamatan negeri adalah pada tahap yang baik, Rakyat hidup aman dan damai, dan hubungan antara Rakyat yang berbilang kaum, agama dan kedudukan sosial memuaskan.
7. Dengan wujudnya suasana begini, maka Rakyat juga dapat mencari rezeki untuk meningkatkan pendapatan, membesarkan anak-anak dalam persekitaran yang sentosa, cukup makan, anak-anak dapat ke sekolah untuk menimba ilmu pengetahuan, jaga kesihatan, dan secara keseluruhannya hidup aman dan makmur.
8. Walaupun begitu, ada lagi segelintir masyarakat yang masih tertinggal dari arus pembangunan perdana. Wujud di kalangan masyarakat Rakyat yang hidup susah, tiada mata pencarian tetap, terlantar sakit di rumah tanpa perhatian perubatan yang memuaskan.
9. Ada juga anak muda yang menganggur – kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tiada rumah sendiri, terpaksa menumpang rumah ibubapa yang juga hidup susah, atau membayar sewa kepada tuan punya rumah.
10. Akibat tekanan hidup susah ini, maka kadangkala anak sendiri juga tidak habis sekolah, maka berlakulah kitaran ganas yang memburukkan lagi keadaan hidup mereka.
11. Tentunya golongan yang kurang bernasib baik seperti ini perlu pembelaan.
12. Selain itu, ada di kalangan anak-anak muda kita yang menganggur dan tidak dapat hidup selesa dan mendirikan rumahtangga. Mereka ini memerlukan peluang-peluang pekerjaan, dan peluang untuk memiliki rumah yang menepati kemampuan.
13. Manakala ada pula pihak-pihak yang berminat untuk berniaga tetapi tidak mempunyai modal yang mencukupi. Mereka ini tentunya perlu diupayakan supaya dapat menyara diri selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
14. Walaupun Kerajaan Persekutuan telah menyediakan perkhidmatan pendidikan sampai ke peringkat tertinggi diseluruh negara, tetapi ada juga graduan dengan kelayakan akademik tinggi tidak dapat pekerjaan yang menepati pencapaian akademik mereka.
15. Maka Kedah kerugian jika anak Kedah yang berkelayakan ini terpaksa berhijrah ke negeri atau negara lain untuk menyara hidup.
16. Kerajaan Tuanku berpendirian bahawa Rakyat perlu diupayakan untuk mengubah nasib diri mereka sendiri.
17. Pelaburan yang paling menguntungkan adalah pendidikan. Ianya mampu membuka luas peluang untuk berjaya dalam apa bidang sekalipun. Contohnya, seorang anak penoreh getah di Pokok Sena mampu menjadi pakar perubatan yang berjaya kerana pendidikan.
18. Contoh seperti inilah yang mendorong Kerajaan Tuanku untuk menitikberatkan pendidikan. Oleh itu buat julung-julung kalinya, Kerajaan Tuanku telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk menyediakan perkhidmatan tuisyen atas talian secara percuma yang akan memanfaatkan hampir 400,000 pelajar sekolah rendah dan menengah.
19. Melentur buluh biar dari rebungnya. Patik yakin dengan asas pendidikan yang kukuh, anak-anak Kedah akan kian terpelajar dan dapat menyumbang kepada kemakmuran negeri akhirnya, in shaa Allah.
20. Ampun Tunku, Kerajaan Tuanku percaya kepada pendekatan menyediakan kail untuk memancing ikan. Pertumbuhan ekonomi negeri mestilah memberi faedah kepada Rakyat secara langsung mahupun tidak langsung.
21. Oleh itu, setiap projek pembangunan yang Kerajaan Tuanku rancang tidak hanya menarik kapital kepada negeri, tetapi juga memberi impak yang besar kepada ekonomi Rakyat.
22. Atas strategi itulah enam projek pemangkin telah dikenalpasti, termasuk cadangan untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, dikenali dengan nama timangannya KXP.
23. Sesungguhnya projek ikonik seperti ini akan menyemarakkan ekonomi Rakyat, terutamanya di luar bandar.
24. Peluang pekerjaan berpendapatan tinggi tidak hanya akanditawarkan oleh operasi KXP, tetapi juga oleh industri pembuatan dan perkhidmatan penerbangan yang akan ditempatkan bersebelahan dengan lapangan terbang tersebut.
25. Malah seluruh kawasan antara Taman Teknologi Tinggi Kulim hingga ke KXP akan menjadi zon pembangunan untuk industri pembuatan dan perkhidmatan yang mengambil kesempatan akan wujudnya akses kepada dunia luar melalui KXP. Ini memberi impak kepada percambahan peluang kerja dan perniagaan.
26. Sepertimana seluruh kawasan Kedah Utara mengalami pertumbuhan mendadak dalam tempoh yang singkat dengan pembukaan Universiti Utara Malaysia di SintoIk, begitu jugalah diharapkan akanberlaku kepada negeri kita, malah turut melimpah ke negeri-negeri jiran seluruh Utara Semenanjung ini.
27. Industri pelancongan menerima suntikan baru apabila Kerajaan memutuskan untuk mengisytiharkan Tahun 2016 sebagai Tahun Melawat Kedah. Kempen ini tentunya akan membuka ruang bagi meningkatkan hasil negeri dengan kunjungan lebih ramai pelancong tempatan dan asing ke negeri kita ini.
28. Setelah merancang strategi dengan penuh teliti, Kerajaan Tuanku kini bersedia untuk melaksanakan program-program pembangunan ini. Pemacuan transformasi Kedah kini bermula.
29. Ampun Tunku, sambil Kerajaan Tuanku menekankan pertumbuhan ekonomi, tanggungjawab sosial juga tidak diabaikan. Salah satu sebab tumpuan diberikan kepada ekonomi adalah untuk menjana dana yang boleh digunakan bagi meringankan beban masyarakat susah. Dengan itu yang rebah tidak terus tertindih.
30. Antara lain, perkara yang menjadi fokus utama ialah pembinaan rumah kos rendah dan mampu milik bagi memenuhi permintaan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Sehingga kini, lebih 16,000 buah rumah telah dan sedang dibina sejak patik mentadbir negeri.
31. In shaa Allah, Kerajaan Tuanku akan mencapai sasaran untuk membina 40,000 buah rumah kos rendah dan mampu milik dalam tempoh empat tahun.
32. Ampun Tunku, untuk terus menegakkan syiar Islam, pelbagai program agama diadakan yang melibatkan penyertaan muslimin dan muslimah di segenap lapisan usia. Surau dan masjid sentiasa diimarahkan dengan program-program ilmu.
33. Sukacita patik menyembah maklum bahawa sepanjang 2014, sebanyak lapan buah masjid telah dibina baru dan dibaikpulih di Negeri Kedah Darul Aman.
34. Tanggungjawab agama ini dipentingkan kerana Kerajaan Tuanku sedar akan tugasnya untuk bertindak sebagai khalifah Allah dengan menguruskan segala aspek sosial, politik dan ekonomi agar sentiasa mendapat keredhaan Yang Maha Esa.
35. Ampun Tunku, Kerajaan Tuanku akan terus mengamalkan perbelanjaan berhemah. Laut ditimba akan kering. Usaha untuk menambah pendapatan senantiasa ditingkatkan. Dalam keadaan payah umpama lampu kekurangan minyak, perbelanjaan untuk membantu golongan yang bekeperluan akan dibuat secara bijaksana dengan mengikut keutamaan.
36. Ampun Tunku, bagi pihak diri patik mewakili seluruh rakyat Negeri Kedah, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta warga kakitangan awam di Negeri Kedah, patik mohon berikrar sepenuh taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah. Penyataan taat setia ini diterjemahkan dengan iltizam untuk bekerja dengan lebih gigih dan beramanah demi kemakmuran negeri dan seluruh Rakyat Tuanku.
Angkut-angkut terbang ke langit
Mati disambar anak merbah
Tertangkup bumi dengan langit
Setia tidak akan berubah
37. Patik sekalian berdoa kehadrat Allah SWT agar dilanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Sultanah agar rakyat di negeri ini terus bernaung di bawah pemerintahan Kebawah Duli Tuanku yang bijaksana, adil dan saksama.
Daulat Tuanku.
Allahu Akbar
Ampun Tunku beribu-ribu ampun, sembah Patik mohon diampun.
0 comments:
Post a Comment