Latest News

Tuesday 24 February 2015

Bomba Kedah Siap Hadapi Fenomena Musim Panas


Bagi menghadapi fenomena cuaca panas yang dijangka melanda negara Mac depan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah bersiap sedia dari aspek logistik dan keanggotaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Penolong Pengarah Operasinya Nazri Zakaria berkata segala persiapan aset seperti jentera dan tangki air telah dipersiapkan selain memastikan jumlah anggota yang mencukupi bagi menangani jumlah kebakaran yang dijangka meningkat.

"Bagi bulan Feb tahun lepas, pihaknya menerima 1,360 panggilan melibatkan kebakaran ladang, hutan dan belukar manakala Feb tahun ini (1 Feb-22 Feb) sebanyak 401 panggilan diterima."

"Selain itu, kita juga menghadkan jumlah anggota bercuti dengan 10 peratus sahaja yang dibenarkan dalam satu-satu masa," katanya kepada Bernama di sini pada Isnin.

Nazri berkata, sebanyak 105 jentera pelbagai jenis seperti 'fire rescue tender', 'water tanker', 'hydro sub' dan lain-lain jentera bersedia untuk digerakkan untuk menangani kebakaran.

Katanya, pemantauan kawasan yang selalu berlaku kebakaran seperti di Pendang dan Jitra juga akan dipertingkatkan selain kawasan-kawasan bendang yang ketika ini merupakan musim membakar jerami.

"Kita memberi perhatian kawasan bendang dan menasihatkan orang ramai terutamanya petani supaya membuat pembakaran pada sebelah malam kerana pada waktu siang ditambah dengan cuaca panas bimbang api sukar dikawal," katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Bomba Kedah Siap Hadapi Fenomena Musim Panas Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top