Latest News

Thursday 12 February 2015

Polis Kedah Tahan Empat Suspek, Rampas Dua Pistol, Kad Kuasa Palsu



Polis Kedah menahan tiga lelaki warga Thailand dan seorang wanita tempatan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Seraya di sini tengah malam tadi dan merampas dua pucuk pistol, sejumlah peluru dan kad kuasa palsu daripada mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya berkata tiga suspek lelaki dengan seorang daripada mereka memiliki taraf pemastautin tetap Malaysia dan suspek wanita berkenaan ditahan kira-kira pukul 12.10 malam tadi hasil risikan dan maklumat awam.

Katanya hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menemukan sepucuk pistol jenis Beretta buatan USA, sepucuk pistol tiruan, 15 butir peluru kaliber .32, sepasang gari dan Taser Gun.

"Turut ditemui tiga keping kad kuasa palsu iaitu satu kad Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan jawatan Pegawai Khas, satu kad Consulate General of Malaysia, Songkhla, Thailand dengan jawatan Senior Interligent dan kad Special Investigation Unit yang tertera logo Thai-Malaysia Border dengan jawatan Senior Interligent.

"Kami percaya kad yang tertera gambar dan nama seorang daripada empat suspek digunakan untuk memperdayakan orang ramai untuk tujuan jenayah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini Rabu.

Nashir berkata hasil siasatan mendapati lelaki memiliki taraf permastautin tetap itu pernah ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 pada tahun 2007.

Beliau berkata keempat-empat suspek berumur lingkungan 40-an hingga 60-an itu ditahan reman bermula hari ini hingga 17 Feb depan untuk siasatan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah Supt Mohd Salleh Abdullah mengingatkan orang ramai agar berhati-hati sekiranya ditawarkan bantuan rumah menerusi program E-kasih.

Katanya dari Oktober 2014 hingga Januari 2015, sebanyak 60 laporan polis telah dibuat berhubung kes penipuan tersebut melibatkan kerugian berjumlah RM156,680.

Pengadu terdiri daripada penduduk kampung di daerah Padang Terap, Sik dan Kota Setar, katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai yang mendapat tawaran bantuan itu supaya menghubungi agensi dan jabatan yang berkaitan untuk pengesahan.

Katanya Isnin lepas, seorang lelaki berumur 34 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani atas 36 pertuduhan menipu berhubung bantuan rumah yang tidak wujud kononnya melalui program E-kasih.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Polis Kedah Tahan Empat Suspek, Rampas Dua Pistol, Kad Kuasa Palsu Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top