Latest News

Thursday 19 February 2015

RM1 Juta Diagih Menerusi Program Bantuan Sewa Rumah Luar Bandar- Datuk Tajudin


Sebanyak RM1 juta akan diagihkan kepada rakyat Kedah menerusi program bantuan sewa rumah luar bandar, kata Exco Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri Datuk Mohd Tajudin Abdullah.

Beliau berkata mereka yang terpilih terdiri daripada golongan berpendapatan kurang daripada RM3,000 dan berdaftar dengan program e-Kasih yang menyewa rumah sebagai tempat berteduh.

Katanya bantuan yang disalurkan kerajaan persekutuan itu diberikan kepada keluarga yang tidak mampu untuk membina rumah sendiri dan terpaksa menyewa rumah dalam tempoh tertentu.

"Setakat ini kita telah berbincang dengan pegawai daerah bagi menentukan jumlah pemohon yang layak menerima bantuan ini. Berkemungkinan setiap keluarga akan menerima bantuan sebanyak RM250 sebulan bagi meringankan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Kita akan beri bantuan tersebut dalam masa terdekat selepas proses mengenal pasti sasaran yang layak itu selesai dalam tempoh terdekat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mohd Tajudin berkata kerajaan negeri juga sedang memohon peruntukan tambahan iaitu RM2 juta bagi tujuan itu agar lebih ramai golongan sasar diberi bantuan tersebut selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk mengurangkan beban rakyat di negeri ini.

Katanya sebanyak 25,000 keluarga telah berdaftar dengan e-Kasih setakat ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri juga akan mengagihkan bantuan berupa makanan asas kepada penoreh getah yang menghadapi pelbagai masalah seperti kekurangan susu getah.

Katanya 15,000 keluarga dijangka menerima bantuan tersebut yang dianggarkan bernilai RM750,000 pada Mac depan dan disusuli pada Jun dan Sept depan.

"Tahun lepas hanya 6,000 keluarga penoreh getah yang menerima bantuan tersebut dan tahun ini meningkat kepada 15,000 keluarga. Ia sekali gus dapat membantu penoreh getah yang terjejas selepas kejatuhan harga getah dan susu getah berkurangan disebabkan faktor cuaca," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Tajudin berkata orang ramai perlu mendapatkan maklumat lengkap berkaitan program bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri bagi mengelak berlakunya penipuan oleh sindiket.

Katanya baru-baru ini seorang individu telah menipu beberapa orang yang ingin mendapatkan sebuah rumah menerusi program e-Kasih kerajaan negeri di daerah Kota Setar, Sik, Padang Terap dan Kuala Muda.

"Kita tak pernah lantik mana-mana ejen yang menguruskan soal e-Kasih. Kalau dia minta duit untuk proses ratakan tanah contohnya, ia tidak betul kerana semua projek dibiayai oleh kerajaan negeri dan persekutuan," katanya.

Beliau berharap orang ramai tidak terpedaya dengan penipuan yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dengan mendapatkan maklumat tepat daripada Jawatankuasa Keselamatan, Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) atau daripada kerajaan negeri sendiri.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: RM1 Juta Diagih Menerusi Program Bantuan Sewa Rumah Luar Bandar- Datuk Tajudin Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top