Latest News

Sunday 29 March 2015

IS Rancang Serang Malaysia ?




IS : Polis Tahan 2 Warga Iraq

Kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menghalang serangan pertama Negara Islam (IS) ke atas negara ini, apabila menahan dua lelaki warga Iraq yang menganggotai kumpulan militan itu di Jalan Ampang, di sini, Khamis lalu.

Dua lelaki tersebut merupakan antara beberapa warga asing yang dipercayai merancang melancarkan serangan terhadap beberapa pejabat kedutaan asing terutamanya dari negara Asia Barat di negara ini.

Ini merupakan kali pertama warga asing terlibat dengan IS ditahan di Malaysia memandangkan sebelum ini kebanyakan ditahan adalah warga tempatan yang merancang untuk berjuang bersama IS di Syria.

Penahanan kedua-dua lelaki tersebut turut mencetuskan kebimbangan memandangkan sebelum ini Malaysia hanya menjadi transit kepada warga asing sebelum mereka ke Syria untuk menyertai puak militan tersebut.

Kedua-dua warga Iraq itu dipercayai merancang menyerang Kedutaan Besar Arab Saudi dan Qatar di ibu negara selepas mendapat arahan daripada pimpinan IS di Asia Barat.

Selain itu, mereka juga dikatakan pernah mengeluarkan ugutan terhadap Duta Besar Arab Saudi dan Qatar ke Malaysia sebelum ini.

Menurut sumber, dua warga Iraq masing-masing berusia 39 tahun dan 42 tahun tersebut mendakwa mereka datang ke negara ini bersama dua orang lagi bagi melancarkan ‘misi’ itu.

“Polis sedang meneliti kesahihan kenyataan tersebut dan akan mengenal pasti dua lagi suspek yang dikatakan ada kaitan dengan warga Iraq yang ditahan ini. Mereka mendakwa daripada kumpulan militan IS yang diarah untuk melancarkan serangan di negara ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, dalam satu sidang akhbar Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu, Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman menahan dua warga Iraq kerana disyaki terlibat membuat ugutan bunuh terhadap Duta Besar Arab Saudi dan Qatar di ibu negara Khamis lalu.

“Siasatan awal mendapati mereka dipercayai dihantar oleh pihak IS untuk melakukan ‘sesuatu’ yang perkara itu boleh memberi ancaman kepada negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong, Shah Alam dekat sini.

Khalid menggesa semua pihak untuk menjadi mata dan telinga Polis Diraja Malaysia dengan memberi maklumat berhubung sebarang kegiatan kumpulan berkenaan termasuk yang cuba merekrut remaja dan warga tempatan untuk dihantar ke Syria dan Iraq.

“Ingin saya nyatakan rancangan IS adalah benar. Jika kita tidak berhati-hati, akan berlaku perkara yang tidak kita ingini,” katanya.

Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu, polis telah memantau pergerakan kedua-dua suspek itu sejak 10 Mac lalu.

“Mereka didapati menetap di beberapa lokasi di sekitar Selangor dan Johor. Suspek pertama berusia 39 tahun dikesan memasuki negara ini sejak Februari lalu manakala suspek kedua berusia 42 tahun pula didapati tinggal melebihi tempoh,” ujarnya.

Kata sumber tersebut, polis turut merampas dua telefon bimbit serta beberapa keping kad SIM daripada suspek.

“Kebiasaannya, mereka yang terlibat dengan elemen IS memang memiliki banyak kad SIM bagi berhubung dengan pelbagai orang,” katanya.

Baru-baru ini, Khalid mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang komen yang mempersoal agama Islam atau hudud secara terbuka kerana dibimbangi mengundang tindak balas dari­pada militan IS.

Sekiranya perkara itu tidak diendahkan, tegas beliau, tidak mustahil tragedi serangan berdarah terhadap pejabat majalah satira Perancis, Charlie Hebdo di Perancis dan di Kafe Lindt di Martin Place, Sydney, Australia yang dikaitkan dengan IS itu juga boleh berlaku di Malaysia.

Malah, Khalid juga mengingatkan bahawa pihaknya sedar akan kemampuan kumpulan tersebut serta tujuan militan itu ditubuhkan dan telah memaklumkan bahawa sebilangan rakyat Malaysia berada di Syria bersama-sama rakyat lebih 40 buah negara yang berjuang atau berjihad kononnya di sana.

Utusan Online 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: IS Rancang Serang Malaysia ? Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top