Latest News

Thursday 12 March 2015

Kedah Tunggu Kelulusan Kabinet Jadikan Jerlun Daerah Terbaharu




Kerajaan negeri Kedah sedang menunggu persetujuan Kabinet terhadap cadangannya untuk menjadikan Jerlun daerah terbaharu di negeri itu, menurut Datuk Badrol Hisham Hashim.

Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri itu berkata sudah tiba masanya Jerlun dijadikan daerah baharu bagi membolehkan ia dibangunkan dengan lebih pesat dan tidak lagi menjadi sebahagian daripada daerah Kubang Pasu.

Pada masa ini, Kedah memiliki 12 daerah dan jika cadangan menjadikan Jerlun sebuah daerah diluluskan, ia akan muncul sebagai daerah ke-13 di negeri yang dikenali sebagai Negeri Jelapang Padi Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini semalam selepas merasmikan Majlis Penutup Wacana Integriti Anggota-Anggota Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kedah 2015.

Sementara itu Badrol menasihatkan anggota majlis PBT supaya melaksanakan transformasi sama ada berbentuk fizikal atau minda bagi membolehkan perubahan lebih baik disalurkan kepada masyarakat setempat.

"Transformasi fizikal mudah dicapai dengan suntikan modal berjuta, tetapi transformasi minda bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai kerana ia memerlukan perubahan sikap dan daya fikir di luar kotak," katanya.

Badrol berkata beliau mahu anggota majlis PBT menyelesaikan permasalahan menggunakan daya kreativiti tersendiri dan di luar sempadan kebiasaan, bertujuan membantu meningkatkan pencapaian di kawasan masing-masing.

Untuk meningkatkan pencapaian PBT, kerajaan negeri katanya, bersetuju untuk memberi 'Caruman Membantu Kadar Hartanah Kerajaan Negeri Kedah' kepada semua PBT berjumlah RM724,000 yang telah diluluskan dalam Bajet Negeri 2015, katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kedah Tunggu Kelulusan Kabinet Jadikan Jerlun Daerah Terbaharu Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top