Latest News

Tuesday 17 March 2015

Nahas: Pasukan Jupiter Aerobatic Team Tarik Diri



Pasukan Jupiter Aerobatic Team daripada Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (TNI-AU) membuat keputusan menarik diri daripada Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2015 (Lima'15) selepas empat daripada juruterbangnya terbabit dalam kemalangan ketika melakukan latihan aerobatik, semalam.

Marshall Pertama TNI-AU Indra Yadi mengesahkan keputusan itu dan berkata pasukannya akan menarik diri daripada acara dwitahunan itu ekoran kemalangan semalam.

"Kemalangan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Insiden ini tidak akan melemahkan semangat kami untuk terbang. Angkatan Udara Indonesia akan terus berada di sini bagi acara ini (Lima'15 ).

"Hanya Jupiter Aerobatic Team akan pulang ke Indonesia," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi empat juruterbang itu di Hospital Langkawi di sini hari ini.

Indra merupakan pemerhati dari Angkatan Udara Indonesia yang turut melakukan penerbangan bersama-sama juruterbang terbabit ketika melakukan latihan.

Beliau berkata, TNI-AU bersimpati dengan pemilik rumah yang kediamannya musnah apabila pesawat berkenaan terhempas di atasnya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Langkawi Dr Mansor Ismail berkata, keempat-empat juruterbang Indonesia itu yang mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan itu akan dibenarkan keluar hari ini.

Semalam, Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, turut mengunjungi juruterbang yang cedera itu.

Dua pesawat Jupiter itu terhempas di Pemandangan Indah, Padang Mat Sirat dan Kampung Gelam, Kedawang berhampiran lapangan terbang kira-kira 2 petang semalam.

Dua juruterbang dan dua penumpang pesawat itu berjaya melentingkan diri dari pesawat sebelum ia terhempas. - Bernama

  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Nahas: Pasukan Jupiter Aerobatic Team Tarik Diri Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top