Latest News

Tuesday 17 March 2015

Rumah Mampu Milik Di Kedah Bakal Gunakan Teknologi Baharu

gambar hiasan


Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) berharap dapat mencapai keputusan akhir selepas berbincang dengan agensi kerajaan Kedah, menjelang akhir tahun ini bagi mendirikan 200 rumah mampu milik menggunakan panel komposit poliuretana ringan daripada Bayer MaterialScience.

Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Datuk Seri Judin Abdul Karim berkata teknologi baharu ini akan menjimatkan masa dan kos, malah masa pembinaan dapat dikurangkan sebanyak 35 peratus berbanding dengan konkrit pratuang.

"Panel poliuretana juga mempunyai ciri-ciri penebat yang sangat baik. Ini meningkatkan kecekapan tenaga di dalam rumah dengan mengurangkan suhu di dalamnya, sekaligus, mengurangkan bil elektrik serta kesan karbon," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof melancarkan model rumah yang menggunakan teknologi tersebut di sini hari ini.

Sementara itu, Fadillah berkata CIDB, Bayer dan rakan kongsinya seperti PU Profil, Panel Square dan Philips Malaysia telah berjaya membangunkan pelbagai penyelesaian yang inovatif dan mampan dari segi ekonomi dalam sektor perumahan mampu milik.

"Sekali lagi, saya ingin melahirkan sokongan tidak terhingga kepada kerjasama kukuh antara CIDB dan Bayer yang telah menyediakan penyelesaian ekonomi dan praktikal bagi menangani isu kekurangan rumah," katanya.

Model rumah itu yang dibina di kawasan seluas 185 kaki persegi, memakan masa selama lima minggu dan disiapkan pada Ogos lepas.

Rumah rekaan asas dengan keluasan 106 kaki pesegi itu dijual pada harga RM76,000.

Judin berkata pada masa depan, CIDB akan terus memanfaatkan pengetahuan teknikal dan kepakaran Bayer untuk memberi tumpuan kepada perumahan mampan.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Bayer MaterialScience (Kemampanan), Richard Northcote berkata kejayaan menyiapkan rumah model itu membolehkan syarikat tersebut menyumbang ke arah pembangunan mampan.

"Ia juga membolehkan akses perumahan mampu milik yang lebih baik bagi keluarga yang berpendapatan rendah," katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Rumah Mampu Milik Di Kedah Bakal Gunakan Teknologi Baharu Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top