KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dikenakan penggantungan selama lapan bulan selepas didapati bersalah menggunakan bahan terlarang jenis dexamethasone ketika Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun, Chong Wei yang juga bekas pemain nombor satu dunia boleh menarik nafas lega apabila tiga ahli panel Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang mengadili sesi pendengarannya di Amsterdam, Belanda, 11 April lalu memutuskan tarikh penggantungan bermula pada 30 Ogos tahun lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan BWF, sebentar tadi keputusan itu menyaksikan tempoh penggantungan Chong Wei akan tamat 30 April ini (Khamis ini) sekali gus membolehkan dia beraksi untuk skuad negara pada kempen Piala Sudirman yang mana tarikh tutup pendaftaran pemain akan berakhir jam 12 tengah malam ini.
Kredibilti peguam, Mike Morgan yang berpangkalan di United Kingdom jelas terbukti apabila dia mempertahankan Chong Wei untuk digantung bermula 30 Ogos biarpun pemain berkenaan hanya mula digantung sementara oleh BWF pada 11 November tahun lalu.
Sepanjang tempoh penggantungannya ranking dunia Chong Wei jatuh ke tangga ke-30 dunia dan dia perlu segera beraksi dalam kejohanan antarabangsa bagi memperbaiki kedudukan itu dengan mata kelayakan Sukan Olimpik 2016 akan mula dikira Sabtu ini.
Chong Wei turut layak ke Kejohanan Dunia di Jakarta, Indonesia, Ogos depan bersama Chong Wei Feng untuk menggalas cabaran dalam acara perseorangan lelaki.
0 comments:
Post a Comment