Latest News

Tuesday 26 May 2015

KERAJAAN PERLU MASYHURKAN KOTA MELAYU LEMBAH BUJANG



Oleh Md Shukri Shuib


Pelancongan adalah satu elemen ekonomi yang cukup penting kepada sesebuah negara. Berkembangannya sektor pelancongan adalah melalui beberapa aspek penting.

Kestabilan dan keamanan negara juga menjadi salah satu tarikan kepada kedatangan pelancong. Galakan penduduk untuk bersifat mesra pelancong dan prihatin kepada persekitaran adalah penting dalam memajukan Malaysia sebagai hub pelancongan dunia.

Komitmen Malaysia memajukan produk pelancongan baru sentiasa wujud. Pembinaan KLCC dengan menara berkembar tertinggi dunia berjaya menjadi ikon Malaysia. Putrajaya, Iskandar Malaysia serta beberapa bandar juga menjadi destinasi popular negara.

Putrajaya yang dibangunkan dengan status pusat pentadbiran kerajaan persekutuan bukan sahaja menjadi pusat urusan kerajaan tetapi ia menjadi tarikan pengunjung. Ramai anggota masyarakat melancong ke sana untuk melihat keindahan bandar kerajaan Malaysia itu. Keindahan alam di Sabah dan Sarawak serta keunikan budaya kaum yang pelbagai sudah dikenali dunia.

Masyarakat antarabangsa bukan hanya mengenal Malaysia atas kapasiti keindahan alam dan juga banggunan tersergam, tetapi juga di kenali berasaskan ketokohan kepimpinan negara.

Nama Tun Dr Mahathir umpamanya, begitu dikenali dunia hinggakan ke mana saja destinasi kita singgah di bandar utama dunia termasuk hingga di Masjidil Haram di Mekah pun nama Mahathir dikenali.

Rupanya dalam membangunkan potensi negara, pelbagai aspek boleh dijayakan. Dari aspek alam semulajadi, sejarah tamadun, artifak sejarah, dan bangunan indah serta perbandaran yang indah disertai kepelbagaian budaya juga adalah pakej magnet pelancong.

Dalam pembangunan potensi pelancongan, magnet terpenting adalah keamanan dan dasar negara. Lihat sahaja Iraq, Palestin dan juga Syria, kini walaupun di situ banyak lokasi utama pelancongan tetapi ia tidak lagi boleh dilawati dengan selamat. Krisis politik dan peperangan merebut wilayah dan kuasa menyekat potensi pelancongan yang ada.

Dunia kehilangan beberapa wilayah pelancongan. Lihat sahaja Libya, Iraq, Syria, Palestin dan juga kini Yaman serta beberapa negara Afrika. Malaysia harus terus memperkemaskan kerangka pembangunan industri pelancongan negara untuk muncul menggantikan beberapa negara yang sudah hilang daya tarikannya sebagai destinasi kehadiran pelancong.

Banyak lagi kawasan pelancongan yang boleh dibangunkan. Lihat sahaja kepada kawasan Lembah Bujang di Merbok, Kedah. Kini dijumpai beberapa penemuan bersejarah. Rupanya wujud seolah sebuah kota Melayu purba di kawasan ini. Lebih 2000 tahun dahulu orang Melayu sudah ada pusat pemerintahan dan perdagangan yang hebat dengan kewujudan industri peleburan besi dan juga wujud bangunan berbatu.

Saya adalah anak jati kawasan Lembah Bujang dan melihat bahawa kawasan ini ada potensi penting bagi Kedah untuk menjadi destinasi baru pelancongan dunia. Kewujudan Gunung Jerai, sungai dengan hutan bakau yang indah beserta kewujudan kawasan tanjung yang menjadi destinasi penjualan produk perikanan nelayan serta wujud medan ikan bakar yang sentiasa dikunjungi masyarakat boleh dijadikan destinasi baru dalam peta pelancongan negara.

Adakah Kedah hanya mahu dikenali dengan Langkawi sebagai hub pelancongan utama?. Jika Kedah mampu mengembelengkan kerangka pembangunan zon pelancongan baru di Lembah Bujang, yang begitu mudah di akses menerusi jaringan lebuhraya utara selatan menerusi exit sungai petani utara, maka kawasan Lembah Bujang mampu menjadi pusat pelancongan yang berdaya maju.

Jika kawasan Tanjung Dawai di majukan sebagai hub perikanan dan juga dibina seolah Kuala Perlis dan Lumut maka industri hasil perikanan dan sebagai hub industri makanan laut dapat menjana pendapatan tambahan kepada penduduk.

Pemeliharaan hutan di kawasan kaki Gunung Jerai dengan memperkenalkan semula motorcross dan juga membina kereta kabel ke satu puncak yang baru dalam banjaran berbukit gunung Jerai itu, nescaya penduduk Kedah akan mendapat manfaat besar dengan Lembah Bujang sebagai hub baru industri pelancongan antarabangsa.

Amat rugi sekali bagi Kedah dan Malaysia apabila kota tamadun Melayu yang wujud ribuan tahun di Lembah Bujang tidak disusuli kerangka spesifik dan bersepadu corak pembangunan kawasan ini.

Tidakkah kerajaan sedar bahawa artifak tamadun di Lembah Bujang adalah asas kepada pembuktian sejarah betapa orang Melayu purba telah bertamadun yang hebat setanding tamadun besar lain dunia.
Adanya Makam Sultan Mudzaffar Shah I yang merupakan pemerintah Kesultanan Kedah yang pertama memeluk Islam di nusantara sejak tahun ke 1000 masihi pun masih tidak dibangunkan dengan sempurna dan bersepadu.

Harapnya kerajaan mula menilai semula strategi dan juga lebih prihatin dalam soal pembangunan potensi baru pelancongan.

Lembah Bujang bukan sahaja ada nilai industri pelancongan tetapi ia memiliki nilai ketamadunan Melayu yang menjadi asas kepada Malaysia dan nusantara serta penting dalam sejarah Islam di rantau ini.

Sedih sekali apabila Lembah Bujang yang berpotensi dibangunkan dengan bangunan ikonik dan hotel persidangan bertaraf antarabangsa dibiarkan sahaja.

Jika seminar antarabangsa dapat dijana kerajaan Kedah menghimpunkan pengkaji herba Gunung Jerai, atau mengadakan pembentangan antarabangsa mengenai tamadun dunia, maka mungkin ia akan menjadi pembuka koridor kepada menjadikan kawasan ini destinasi pelancongan baru dunia.

Inilah masanya bagi Malaysia membangunkan zon bersepadu pembangunan industri pelancongan baru sebagai galakan kepada menarik lebih ramai rakyat bercuti dalam negara, selain mengajak masyarakat antarabangsa untuk terus berkunjung dan berbelanja di Malaysia.

Jadikanlah Lembah Bujang sebagai "Langkawi Darat" bagi Kedah dan Malaysia dengan memulakan kerangka kewujudan pelan pembangunan seperti mana konsep pembangunan Langkawi hendak dimajukan.

Gabung jalinkanlah pembangunan Lembah Bujang ini dengan elemen pelancongan moden dan pelancongan sejarah purba serta pada masa sama integrasikan penduduk kawasan ini secara bersama dalam kerangka pembangunan yang diwujudkan.

Harapnya kerajaan dapat sedar akan kepentingan memasyhurkan lembah bersejarah ini sebagai tema utama perancangan pembangunan medan pelancongan negara.

Penulis ialah seorang Pensyarah Kanan UUM.

  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

1 comments:

  1. Tapi sampai sekarang tak ada pengumuman pelan dari kerajaan negeri utk pembangunan tapak warisan ni + permohonan untuk status UNESCO...

    ReplyDelete

Item Reviewed: KERAJAAN PERLU MASYHURKAN KOTA MELAYU LEMBAH BUJANG Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top