Latest News

Wednesday 6 May 2015

Suhaimi Yakin Mampu Ubah Permatang Pauh


Oleh Nur Adila Abdul Wahab

PERMATANG PAUH, 5 Mei (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin yakin mampu mengubah landskap kawasan itu jika diberi peluang.

"Saya ingin memberi keyakinan kepada pengundi supaya pilih yang terbaik. Saya mewakili kerajaan persekutuan, tiga tahun bukan tempoh yang panjang. Saya cuma nak beri khidmat bakti kepada masyarakat, itu yang paling mustahak.

"Pilihlah orang yang sentiasa ada dalam kawasan yang akan memberi khidmat sepenuhnya kepada mereka. Tidak ada komitmen lain di tempat lain dan boleh berada bersama mereka dalam apa juga keadaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perjumpaan dan ramah mesra bersama warga emas dan Orang Kurang Upaya, di Permatang Pauh, Selasa.

Melihat kepada personalitinya, Suhaimi dilihat sebagai seorang pemimpin yang lebih mengutamakan kerja daripada 'cakap tidak serupa bikin'.

Mempunyai latar belakang dan rekod bersih, calon BN itu tidak memberi peluang kepada pihak lawan untuk membuat serangan peribadi sehingga menyebabkan mereka terutamanya pakatan pembangkang kadang kala dilihat 'mencipta' isu yang remeh.

Anak kelahiran Guar Jering, Kubang Semang itu yang kaya dengan senyuman menggunakan pendekatan mengelak melakukan serangan peribadi terhadap calon parti lawan, dan sering mengingatkan jentera BN untuk berkempen secara bersih dan mengelak sebarang provokasi.

"Kempen yang bersih sudah semestinya mencerminkan satu suasana politik yang baik. Tidak boleh serang peribadi individu dan menjatuhkan maruah pihak lawan," katanya.

Sepanjang tempoh berkempen yang memasuki hari kesebelas hari ini, Suhaimi berkata kehadirannya di kawasan kampung diterima baik oleh masyarakat malah menyaksikan penerimaan penduduk Permatang Pauh terhadap BN semakin positif.

"Sokongan (daripada pengundi) alhamdulillah walaupun ada sentimen untuk menggagalkan promosi BN daripada segi poster dan banner itu menunjukkan dah ada satu perasaan yang gusar daripada pihak lawan," katanya yang sentiasa ditemani isteri, Firyal Harlina Hanipah.

Berhubung manifesto BN yang menggariskan enam bidang tumpuan iaitu Ekonomi; Pendidikan; Kesihatan; Program Kesejahteraan Rakyat Luar Bandar; Pembangunan Komuniti dan Keselamatan, Suhaimi yakin setiap bidang itu mampu dilaksanakan jika BN memenangi pilihan raya kecil itu.

"Insya-Allah kalau diberi keizinan oleh Allah swt, saya (jika dipilih) sebagai wakil rakyat akan membantu seluruh warga Permatang Pauh dalam apa juga sektor atau bidang yang berkaitan dengan bantuan daripada pihak kerajaan persekutuan," katanya.

Dengan sokongan padu dan komitmen daripada pemimpin dan jentera parti untuk merealisasikan hasrat BN untuk membawa perubahan dan pembangunan di Permatang Pauh, bapa kepada empat orang anak itu optimis untuk menawan kubu kuat PKR itu.

Namun, beliau berkata segalanya terletak di tangan 71,890 pemilih berdaftar di kawasan Parlimen Permatang Pauh dan berharap pengundi memberi peluang kepada dirinya dan BN untuk membawa perubahan di situ.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh Khamis ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah disabitkan kesalahan liwat dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun.

--BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Suhaimi Yakin Mampu Ubah Permatang Pauh Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top