Kejadiaan pukul 6 petang itu menyebabkan Khairul Izzat Mohd Zaki, 22, melecur di muka, badan dan tangan dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang manakala rakannya Mohd Sufri Zulkifli, 19, cedera di leher dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Dua adik kepada Khairul Izzat iaitu Hasbullah Mohsin, 19, dan Ahmad Humaidi, 11, serta sepupu mereka Loqman Hakim Said, 22, cedera ringan dan turut dirawat di HSB.
Ibu kepada adik beradik itu Salmah Salleh, 51, berkata beliau bersama tiga anaknya itu, beberapa anggota keluarga yang lain, rakan anak-anaknya serta pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bakar Kapur telah pergi ke rumah lelaki tersebut pada pukul 5 petang untuk berbincang mengenai pembayaran sewa rumah yang tertunggak.
"Lelaki itu yang berumur sekitar 60-an tiada di rumah kecuali isteri dan anak-anaknya. Setelah menunggu hampir sejam, saya pulang ke rumah sementara anak-anak saya serta kawan-kawan mereka terus menunggu.
"Saya kemudiannya berpatah balik setelah terdengar jeritan dari arah rumah itu dan terkejut apabila melihat anak-anak saya serta kawan mereka berada di dalam sungai dalam keadaan kesakitan," kata Salmah.
Beliau berkata rakan anaknya kemudian memberitahu lelaki tersebut yang baru pulang segera masuk ke dalam rumahnya dan keluar semula serta menyimbah asid di dalam botol plastik kepada mereka sehingga menyebabkan mereka berlima terjun ke dalam sungai berdekatan bagi menghilangkan rasa pedih dan gatal pada badan mereka.
Salmah berkata lelaki terbabit dan anggota keluarganya bersembunyi di dalam rumah dan menyerah diri setelah pihak polis yang dihubungi datang.
Lelaki tersebut dikatakan menyewa rumah pada bulan Ogos tahun lepas dengan kadar RM150 sebulan dan tidak membuat pembayaran mulai Februari lalu.
Jurucakap polis berkata suspek yang berumur 63 tahun telah ditahan malam tadi dan akan disiasat kerana mendatangkan kecederaan.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment