KULIM - Sebuah pusat pendidikan dikenali sebagai Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bakal diwujudkan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) bagi mencari jalan untuk merangsang serta mencambah minat masyarakat terutamanya golongan muda dan pelajar terhadap keempat-empat bidang itu.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia Kedah, Datuk Norsabrina Mohd. Noor berkata, pusat itu dijangka bakal beroperasi pada penghujug tahun ini menerusi kerjasama kerajaan negeri, Kulim High Tech Park Corporation (KHTPC) dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).
“Ketika ini kami masih di peringkat untuk menubuhkan jawatankuasa operasi. Selain itu, semuanya sudah tersedia malah 10 syarikat termasuk bertaraf antarabangsa yang berada dalam kawasan KHTP ini sudah pun bersetuju untuk berkongsi kepakaran dan teknologi masing-masing.
“Segala kepakaran dan teknologi itu akan diletakkan di bawah satu bumbung di Pusat STEM. Maka mudahlah untuk mereka yang mahu mendalami industri ini terutamanya golongan muda untuk melihat apa yang ada di seluruh KHTPC ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutupan Pameran Inovasi Eureka (EIE) kali kedua anjuran Seksyen Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI) di sini hari ini.
Hadir sama Presiden Universiti Kuala Lumpur, Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su'ud; Dekan UniKL MSI, Prof. Dr. Abu Talib Othman serta Ketua Seksyen Penyelidikan dan Inovasinya, Prof. Dr. Ishak Abdul Azid.
Katanya, mengikut perancangan, sebuah panel penasihat terdiri daripada beberapa pakar melibatkan kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi pengajian tinggi dan industri tertentu bakal ditubuhkan bagi merancang program-program yang mampu mendidik masyarakat secara lebih meluas.
“Kepakaran-kepakaran ini akan diketengahkan untuk program tertentu seperti jelajah kampung, sekolah dan sebagainya. Jika ada mana-mana pusat pengajian mahu mendapatkan khidmat nasihat dalam menjalankan program berkaitan, panel penasihat ini juga akan membantu,” ujar beliau. - Utusan
0 comments:
Post a Comment