Pengurus Besar Langkawi Port Sdn Bhd Muhd Nasir Abdul Aziz, berkata sebanyak 3,194 buah kenderaan telah direkodkan untuk keluar dari Langkawi dalam tempoh 12 hari bermula Sabtu lepas sehingga 22 Julai ini.
"Jumlah ini meningkat berbanding 2,831 buah kenderaan yang telah direkodkan keluar semasa musim perayaan Aidilfitri tahun lepas," katanya ketika ditemui selepas program Selamat Pulang Perantau di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung di sini Isnin.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Bintulu Tan Sri Khalid Ramli dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kedah Kawasan Kuah Nor Saidi Nanyan.
Menurut Muhd Nasir, sebanyak lima buah feri akan beroperasi mengangkut kenderaan itu keluar dari Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis tahun ini berbanding hanya empat buah tahun lepas.
Sementara itu Khalid ketika ditemui dalam majlis yang sama berkata program Selamat Pulang Perantau ini telah menjadi acara tahunan sejak 2013 bertujuan memeriahkan suasana Hari Raya selain menyebarkan mesej keselamatan jalan raya.
Dalam pada itu, Nor Saidi berkata kerjasama jitu antara Langkawi Port Sdn Bhd dan pelbagai agensi kerajaan berkaitan telah membolehkan pergerakan kenderaan dari Langkawi ke destinasi yang ditetapkan berjalan lancar biarpun jumlahnya meningkat.
Menurutnya, kerjasama baik yang terjalin ini telah banyak membantu memudahkan pergerakan kenderaan sekali gus menyemarakkan semangat perayaan dalam kalangan pemandu dan penumpang.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment