Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata negeri dikenali sebagai 'Jelapang Padi Malaysia' itu menyediakan tanah yang luas mencecah 240,000 hektar untuk tujuan bekalan makanan seluruh negara.
"Keluasan 240,000 hektar tanah adalah besar, yang boleh digunakan untuk aktiviti produktiviti tinggi yang menjana pendapatan bagi negeri dan pengusaha, tetapi di atas dasar menjamin bekalan makanan, Kedah berkorban," katanya hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri di sini, yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Mukhriz berkata kerajaan persekutuan memberi perhatian terhadap perkara itu dan telah memberi sedikit keutamaan kepada Kedah dalam beberapa hal.
"Kita masih berbincang dengan kerajaan persekutuan tentang bagaimana ia boleh membantu (Kedah) dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) terutamanya peruntukan untuk aktiviti ekonomi yang boleh merangsang pertumbuhan ekonomi," katanya.
Rundingan membabitkan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan terutamanya Unit Perancang Ekonomi tentang perkara itu, katanya telahpun mencapai tahap tinggi.
Sementara itu, beliau telah berbincang dengan Ahmad Shabery tentang aduan diterimanya tentang kekurangan bekalan beras Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15) di Kedah dan menimbulkan kesukaran pada mereka yang memerlukannya.
Sebagai negeri pengeluar beras terbesar negara, katanya perkara itu tidak sepatutnya berlaku di Kedah dan meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi perhatian terhadap masalah itu.
"Kita berharap apa yang sepatutnya (kuota beras ST15 diperoleh) oleh Kedah itu dapatlah dibekalkan semula," katanya sambil menambah terdapat juga aduan menyatakan beras ST15 digunakan di restoran-restoran.
Perkara sedemikian, beliau berkata tidak sepatutnya berlaku kerana beras ST15 adalah untuk diagihkan kepada mereka yang tidak berkemampuan.
-- BERNAMA
kemiskinan kedah disebabkan rakyatnya disuruh menanam padi yg memberi pendapatan rendah.... Kedah perlu transformasi ke industrialisation dan hi-tech sector kalau nak capai kemajuan
ReplyDelete