Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata sebarang maklumat yang diterima tanpa dinilai dan ditapis akan menyebabkan masa depan parti keramat yang dicintai ini menjadi gelap dan boleh memecah-belahkan kesepaduan kepimpinan parti.
Justeru itu, katanya menjadi tanggungjawab semua pemimpin termasuk peringkat akar umbi untuk menerangkan kepada masyarakat berhubung sesuatu perkara bagi membentuk persepsi positif sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti.
"Pada masa sama, saya sangat menaruh harapan kita ini daripada kalangan orang kuat iman dan bertaqwa, jadi kita tahu apa yang benar dan tidak benar, kita dapat pilih antara fitnah dan kebenaran," katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Besut di Dewan Majlis Daerah Besut di Kampung Gong Kemuntong di sini Jumaat.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi yang juga Anggota Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh; Ketua UMNO Bahagian Besut Nawi Mohamad dan timbalannya Mohd Mahdi Musa serta Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri Johari Abu Bakar.
"Kalau kita menerima maklumat yang diragui serta macam ada yang tidak kena, sudah pastilah kita akan dapat rasakan suara hati...jangan percaya maklumat tersebut," katanya.
Sementara itu tanpa menyebut mana-mana pihak Mukhriz meminta semua pemimpin mendengar suara hati akar umbi bagi mengukuhkan politik dalaman parti.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment