Latest News

Saturday 12 September 2015

Projek RTB Anak Bukit Mampu Atasi Masalah Banjir



Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit dijangka siap sepenuhnya pada November tahun depan dan mampu mengatasi masalah banjir di Alor Setar, Kubang Pasu dan Pendang.

Pengerusi Jawatankuasa Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Negeri Kedah, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata projek tersebut melibatkan kos sebanyak RM500 juta meliputi tiga fasa pembinaan.

Fasa pertama ialah menaiktaraf Sungai Baru/ Kubang Rotan yang sudah pun siap 2012 lalu, manakala fasa kedua melibatkan pembinaan lencongan Sungai Baru manakala fasa ketiga menaiktaraf Sungai Tanjung Pauh hingga ke terusan MADA yang masing-masing dijangka siap pada Mei dan November tahun depan.

"Apabila siapnya projek ini ia memberi impak baik kepada kawasan yang sering berlaku banjir besar terutama kawasan Alor Setar yang menjadi pusat pentadbiran negeri.

"Kejadian banjir yang melanda Kedah termasuk banjir besar lima tahun lalu dijangka tidak akan berulang, namun bergantung kepada jumlah taburan hujan di masa depan," katanya selepas melawat RTB Sungai Tanjung Pauh dan RTB Lencongan Sungai Baru, di sini hari ini.

Mengenai isu pampasan tanah, beliau berkata setiap 450 lot rumah yang terbabit dengan pengambilan tanah rizab sungai bagi pelaksanaan projek itu akan menerima pampasan sebanyak RM42,000.

Badrul Hisham berkata notis sudah dihantar kepada penduduk terbabit dengan pengambilan tanah mereka.

Dalam pada itu, katanya Projek RBT Pendang bernilai RM350 juta dijangka dimulakan tahun depan.

"Kerajaan pusat sudah membelanjakan hampir RM1 bilion untuk keseluruhan projek tebatan banjir di Kedah untuk mengatasi masalah banjir," katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Projek RTB Anak Bukit Mampu Atasi Masalah Banjir Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top