Latest News

Sunday 25 October 2015

#Bajet2016 : GDV Bandar Raya Getah Kedah Dianggarkan RM11.2 Bilion - Mustapa


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata nilai pembangunan kasar (GDV) Bandar Raya Getah Kedah adalah RM11.2 bilion selain turut menawarkan 20,000 peluang pekerjaan.

"Ia juga dijangka memberi impak ekonomi dan sosial yang ketara kepada Koridor Utara, termasuk wilayah selatan Thailand," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan peruntukan RM320 juta bagi pembangunan Bandar Raya Getah berkenaan dalam Bajet 2016 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Kerajaan Negeri Kedah, kini dalam proses melantik juruukur tanah bagi melakukan kerja-kerja berkaitan bagi tujuan pemilikan tanah.





Malah, kertas rundingan mengenai pembangunan Bandar Raya Getah itu akan dibentangkan pihak Unit Perancang Ekonomi Kedah pada mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelaras Perindustrian Kedah (JBI) yang dijadualkan esok.

Sementara itu, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Emir Mavani Abdullah berkata pihaknya tetap optimis terhadap prospek masa depannya biarpun dalam persekitaran komoditi global yang mencabar.

Menurutnya, berdasarkan cadangan inisiatif dalam Bajet 2016 beserta asas-asas kukuh FGV, kumpulan itu yakin dapat mengharungi cabaran serta berada pada kedudukan tetap untuk memanfaatkan keadaan pasaran yang pulih.

Emir turut mengalu-alukan usaha kerajaan untuk terus menyalurkan bantuan serta dana bagi meningkatkan kehidupan peneroka Felda, termasuk pendapatan serta produktiviti.

Cadangan inisiatif itu termasuk peruntukan RM200 juta bagi meningkatkan keadaan jalan raya di kawasan penempatan Felda serta pembinaan 20,000 kediamaan bagi generasi kedua peneroka Felda.

Kerajaan juga bercadang menambahbaik Insentif Pengeluaran Getah (IPG) termasuk menaikkan paras pengaktifannya dinaikkan daripada RM4.60 kepada RM5.50 sekilogram (kg) bagi gred SMR 20 'Freight on Board' dan getah skrap akan dinaikkan daripada RM1.75 kepada RM2.20/kg.

"Kesemua cadangan insentif berkaitan dalam Bajet 2016 akan secara langsung atau tidak, menyumbang secara positif kepada FGV.

"Bajet itu juga melengkapi pelan transformasi lima tahun FGV yang menumpukan usaha peningkatan pendapatan, pengoptimuman kos dan kecemerlangan operasi perniagaan kami," katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: #Bajet2016 : GDV Bandar Raya Getah Kedah Dianggarkan RM11.2 Bilion - Mustapa Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top