Latest News

Monday 12 October 2015

Dakwaan Kedah E-Tutor Tidak Membawa Manfaat Tidak Benar - Exco Pendidikan



Exco Pendidikan, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, portal pembelajaran dalam talian Kedah e-Tutor yang dilaksanakan sejak enam bulan lalu memiliki indikator keberkesanan tersendiri sekali gus menafikan dakwaan bahawa portal berkenaan tidak bermanfaat atau membazir.

Pihaknya sentiasa memantau pelaksanaan KeT setiap minggu dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) selain pemantauan peratusan sekolah yang aktif menggunakan KeT.

“KeT bukan sahaja portal pembelajaran, secara tidak langsung membantu kerajaan negeri memahami kekurangan infrastruktur dihadapi guru dan pelajar.

"Matlamat kita mahu sediakan jaringan internet di kawasan luar bandar apabila KeT dilaksanakan, namun saya akui masih terdapat sekolah luar bandar tidak dapat akses KeT kerana kekangan internet sekitar 20 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, perkara itu akan diatasi dengan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mencari alternatif terbaik.

Menurutnya, tidak wajar mana-mana pihak mempertikai keberkesanan program yang dilancarkan April lalu, berbanding program lain yang sudah lama diadakan, antaranya Pembelajaran Maya Frog (Frog) bawah 1BestariNet diterajui Kementerian Pendidikan.

“Sebagai contoh, Frog sudah wujud tiga tahun lalu yang menyediakan platform untuk guru memasukkan bahan pembelajaran. KeT setaraf dengannya, kerana dalam tempoh enam bulan, kita mampu tawar bahan pembelajaran yang tersedia,” katanya.

Katanya, program video tuisyen secara online memudahkan guru dan pelajar menggunakannya pada bila-bila masa sebagai alat bantu pembelajaran secara percuma.

Tajul Urus turut menepis dakwaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dikatakan paling ketinggalan kerana tidak mendapat maklumat berkaitan.

"Ini kerana sembilan daripada 10 sekolah tertinggi penggunaan KeT adalah SJKC.

“Berdasarkan kajian, 89 buah SJKC menggunakan KetT dengan jumlah pelajar 10,968 dan jumlah tontonan video mencecah 51,008. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Bahiyah muncul sebagai sekolah paling aktif menggunakan KeT,” katanya.

Tambahnya, pihaknya mendapatkan laporan berkaitan daripada penyelaras di setiap sekolah untuk dikemas kini agar program yang menelan kos RM18 juta setahun itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“Ingin ditegaskan, program KeT di Kedah berbeza dengan program di Perak yang hanya tawarkan dua subjek iaitu Fizik dan Matematik Tambahan untuk tingkatan lima menyebabkan kosnya hanya sekitar RM2.5 juta,” katanya.

Malah katanya, KeT lebih menyeluruh kepada pelajar dengan menawarkan 81 subjek memaparkan hampir 4000 video subjek yang diajar bermula dari tahun empat hingga tingkatan lima.

“Keseluruhan program juga menawarkan mind maping dari awal hingga akhir tahun persekolahan selain bengkel dan seminar kepada pelajar serta aplikasi mudah alih KeT dan turut membuat pengumuman berkaitan pendidikan,” katanya.

Menurutnya, sebelum beralih kepada portal ini, pihaknya melaksanakan Interaktif Tuisyen Rakyat 1Malaysia, namun penggunaannya tidak menyeluruh dan hanya melibatkan beberapa sekolah manakala kandungannya lebih kepada program latih tubi.

“Portal ini diyakini mampu melonjakkan kedudukan Kedah dalam pendidikan yang kini berada di kedudukan ke-13 berbanding negeri lain.

"Sasaran kita adalah untuk berada dalam kedudukan lima teratas,” katanya.


petikan dari artikel Sinar Harian 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Dakwaan Kedah E-Tutor Tidak Membawa Manfaat Tidak Benar - Exco Pendidikan Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top