Latest News

Friday 9 October 2015

Kedah mohon GST sektor pertanian dikecualikan pada Bajet 2016 - Mukhriz


SERDANG: Kerajaan negeri Kedah memohon agar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan ke atas sektor pertanian khususnya barangan dan peralatan untuk proses penghasilan padi dikecualikan daripada GST semasa pembentangan Bajet 2016.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata pengecualian itu akan membolehkan anggaran GST sebanyak RM41 juta setahun yang perlu dibayar kepada kerajaan persekutuan, digunakan untuk meningkatkan daya saing petani dalam penghasilan bekalan makanan itu.

"Kita telah membuat perkiraan...barangan serta perkhidmatan yang digunakan petani bagi aktiviti pembajakan, pembajaan, penuaian serta penggunaan jentera adalah termasuk dalam senarai yang dikenakan GST.

"Saya harap dalam Bajet 2016 perkara ini boleh dipertimbangkan kerana pengecualian itu akan membantu Kedah menyumbang kepada jaminan bekalan makanan tanpa bebanan kewangan yang lebih daripada kemampuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis bual bicara Menteri Besar Bersama Pelajar Universiti Awam dari Kedah di Dewan Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, pada Khamis.

Kira-kira 300 pelajar anak Kedah dari UPM, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) hadir pada majlis itu.

Mukhriz berharap saranan itu mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sekali gus bakal menggembirakan kira-kira 80,000 petani yang mengusahakan sawah padi di negeri itu ketika ini.

Katanya beliau gembira apabila Perdana Menteri semasa mesyuarat bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri baru-baru ini menyatakan komitmen untuk memberi perhatian khas kepada petani serta nelayan dan kenyataan itu amat bertepatan dengan situasi pekerjaan penduduk di Kedah.

"Selain itu, saya juga mengharapkan kutipan GST oleh kerajaan persekutuan dapat dikongsi dengan kerajaan negeri agar negeri seperti Kedah yang pendapatannya terhad boleh diringankan beban kewangannya," katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata kerajaan negeri sememangnya memberi tumpuan dalam menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada lepasan universiti yang cemerlang.


Beliau berkata bidang aeroangkasa serta pembangunan bandar raya getah di Padang Terap memerlukan kepakaran tertentu dan mahasiswa anak negeri perlu memanfaatkannya dengan memilih jurusan bersesuaian dan mempelbagaikan kemahiran bagi mengisi kekosongan dalam industri itu kelak.

"Menerusi dialog seperti ini kita dapat berkongsi maklumat tentang perancangan kerajaan sekali gus membantu pelajar merancang pemilihan jurusan di universiti supaya akhirnya mereka boleh kembali menyumbang kepada pembangunan di negeri sendiri," katanya.

Petikan sumber Astro Awani
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kedah mohon GST sektor pertanian dikecualikan pada Bajet 2016 - Mukhriz Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top