Latest News

Sunday 11 October 2015

Kerajaan Akan Lakukan Siasatan Berhubung Operasi Mencari Kanak-kanak Orang Asli



ALOR SETAR, 11 Okt - Kerajaan akan melakukan siasatan rapi berhubung operasi mencari dan menyelamat (SAR) tujuh kanak-kanak Orang Asli yang hilang di Gua Musang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Menyifatkan kejadian menimpa kanak-kanak Orang Asli itu itu sebagai amat menyedihkan dan suatu tragedi, beliau berkata kerajaan telah mengambil tindakan sewajarnya untuk mencari dan menyelamatkan mereka.

"Apa yang berlaku adalah suatu yang menyedihkan, suatu tragedi dan siasatan yang rapi akan dibuat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis di Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kedah hari ini.

Beliau yang juga pemangku Menteri Dalam Negeri berkata, pelbagai agensi kerajaan terlibat dalam operasi SAR itu yang dilakukan tanpa henti sejak mereka hilang 23 Ogos lepas.

Katanya, selain beliau yang melawat kawasan operasi selama dua hari, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid turut melakukan lawatan di sana.

Shahidan memangku jawatan Menteri Dalam Negeri kerana Ahmad Zahid kini berada di Amerika Syarikat untuk lawatan rasmi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin pembangkang Lim Kit Siang yang mahukan kerajaan menggantung perkhidmatan atau mendakwa pihak yang bertanggungjawab dalam kes kehilangan kanak-kanak Orang Asli itu.

"Lim Kit Siang nak tuduh bolehlah. Dia hanya main tuduh sahaja, setakat main tuduh, ketua kampung saya pun boleh buat. Cuba bagi cadangan yang membina, macam ini ke sifat pemimpin," katanya.

Menurut Shahidan, Kit Siang tidak pernah memberi cadangan yang membina sejak dari dahulu.

Sementara itu di PADANG TERAP, Mahdzir pula menyifatkan Penasihat DAP itu sebagai seseorang tidak tahu apa-apa kecuali menyalahkan pihak lain terutamanya kerajaan.

Lim yang sudah lama menjadi ahli politik kata beliau, sepatutnya menjaga partinya sendiri daripada terlalu bersikap 'tidak betul' apabila sering memarahi dan mengkritik kerajaan.

"Kita yang buat, kita tahu apa yang kita buat, dia sudah lama jadi ahli politik hari-hari mahu marah orang," katanya selepas merasmikan Hari Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Pedu di sini hari ini.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kerajaan Akan Lakukan Siasatan Berhubung Operasi Mencari Kanak-kanak Orang Asli Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top