Latest News

Monday 26 October 2015

Projek Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT), Bakal Menawarkan Puluhan Ribu Pekerjaan



Projek Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) yang bernilai lebih RM 2 Bilion yang bakal dilaksanakan di Mukim Tebengau, Kuala Kedah dijangka akan menerima kapal pertama dengan muatan ikan tuna akan mendarat di Terminal itu pada pertengahan tahun 2017. 

Menurut Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Haji Mukhriz Tun Dr Mahathir, projek ini adalah merupakan kerjasama antara kerajaan negeri dan sebuah syarikat China berpangkalan di Qingdao, Lu Hai Feng Ltd untuk membina pelbagai kemudahan penangkapan dan pemprosesan ikan tuna.


Mukhriz berkata projek KIFT masih di peringkat Kajian Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA) sebelum memasuki fasa perancangan pembangunan terperinci.

"Kita menjangka kapal pertama yang akan mendarat di KIFT dengan muatan ikan tuna pada pertengahan 2017," katanya dan menambah, pelaburan KIFT boleh mencecah RM3 bilion hingga RM4 bilion jika dicampur dengan kos pembinaan kapal-kapal ikan tuna.

Antara kemudahan yang bakal dibina di KIFT ialah taman industri makanan laut, kemudahan sejuk beku dan pusat lelongan ikan tuna seperti yang terdapat di Pasar Tsukiji, Tokyo.

KIFT bakal menyediakan kira-kira 50,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.


Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan bercadang memasukkan projek Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) bernilai lebih RM2 bilion dalam inisiatif Laluan Sutera Maritim yang diperkenalkan kerajaan China untuk menjalin hubungan lebih rapat dengan negara-negara jirannya.

Kemasukan KIFT dalam inisiatif tersebut akan memberi kelebihan kepada projek perikanan yang bakal dilaksanakan di Mukim Tebengau, Kuala Kedah.

"Kita berharap cadangan pembinaan KIFT di Kuala Kedah itu akan dapat dimasukkan dalam konteks hubungan Malaysia-China menerusi inisiatif Laluan Sutera Maritim yang diperkenalkan oleh kerajaan China."

"Ia (kemasukan KIFT dalam inisiatif itu) akan menjadikan projek tersebut dipantau di peringkat rasmi. Jika ia dipantau di peringkat rasmi, ia (KIFT) sudah pasti diberi keutamaan lebih tinggi," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri dengan kerajaan negeri Kedah bersama Menteri Besar Dato Seri Mukhriz Mahathir di Wisma Darulaman.

Apabila siap kelak, ia akan menjadi pangkalan bagi kapal-kapal menangkap ikan tuna yang beroperasi di Lautan Hindi.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Projek Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT), Bakal Menawarkan Puluhan Ribu Pekerjaan Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top