Latest News

Saturday 14 November 2015

Malaysia, Thailand Digesa Bekerjasama Menghubungkan Projek Bandar Raya Getah


Mesyuarat Peringkat Menteri Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) Ke-21 menggesa Malaysia dan Thailand bekerjasama dalam rancangan menghubungkan projek bandar raya getah di kedua-dua negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, ia termasuk pengaturan lawatan tapak serta misi pelaburan di antara sektor awam dan swasta untuk meneroka kemungkinan bidang kerjasama.

Thailand telah menetapkan Estet Perindustrian Selatan di Chalung, Songkhla sebagai lokasi bandar raya getah dengan projek dimulakan pada Mac 2016 manakala di pihak Malaysia, Ladang Bukit Ketapang di Kedah dicadangkan sebagai tapak bandar itu.

Menurut Wahid, di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas, kerajaan memperuntukkan RM320 juta untuk membangunkan bandar raya getah dan ia kini diberikan Status Projek Nasional.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Peringkat Menteri IMT-GT Ke-21 hari ini. Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mesyuarat IMT-GT itu turut dihadiri Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Darmin Nasution dan Meneri Pengangkutan Thailand, Arkhom Termpittayapaisith.

Sementara itu, mesyuarat IMT-GT itu juga, katanya, telah mengarahkan agensi berkaitan untuk bekerjasama rapat untuk menghasilkan pelan bersepadu bagi menghubungkan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Thailand dan Malaysia.

"Draf Terma Rujukan untuk kajian komprehensif bersama mengenai SBEZ telah disiapkan untuk perbincangan lanjut.

"Kami juga menggalakkan hubungan lebih kukuh di kalangan Zon Ekonomi Khas (SEZ) IMT-GT untuk merangkumi Indonesia bagi menyokong pembangunan rantaian nilai rantau kecil yang lebih cergas," katanya.

Thailand telah memberi keutamaan kepada Sadao, di wilayah Songkhla bagi fasa pertama pembangunan itu pada 2015 dan wilayah Narathiwat dalam fasa kedua pembangunan pada 2016 manakala Malaysia telah mengenal pasti empat kawasan, iaitu Padang Besar, Bukit Kayu Hitam, Pengkalan Hulu dan Pengkalan Kubor.

Mengenai konteks pembangunan Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bukit Kayu Hitam-Sadao yang baharu, Abdul Wahid berkata, mesyuarat itu mengalu-alukan kemajuan projek terbabit.

"Ini termasuk kemajuan 23 peratus projek CIQ di Bukit Kayu Hitam, Malaysia, penyiapan naik taraf kemudahan Pos Sempadan Sadao pada 2015 serta penyiapan pengambilalihan tanah untuk CIQ Sadao di sebelah Thailand," katanya.

Mesyuarat itu juga bersetuju untuk mengadakan Mesyuarat Peringkat Menteri IMT-GT Ke-22 di Thailand pada 2016.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Malaysia, Thailand Digesa Bekerjasama Menghubungkan Projek Bandar Raya Getah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top