Latest News

Thursday 5 November 2015

Perlis, Kedah, Pulau Pinang Kini Pulih Rabies - KP Veterinar



Jabatan Perkhidmatan Veterinar hari ini mengisytiharkan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang kini pulih daripada penyakit anjing gila atau rabies.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Kamaruddin Md Isa berkata pengisytiharan itu dibuat selepas mengambil kira kes terakhir yang direkodkan di ketiga-tiga negeri terbabit sejak 21 Sept lepas.

"Sejak tarikh itu tiada kes baharu dikesan dan kita mengambil kira tempoh inkubasi penyakit selama 14 hari.

"Dari tempoh kes terakhir hingga hari ini sebanyak tiga kali jangka masa inkubasi sudah dicapai dan tiada lagi kes dikesan sebelum memutuskan bahawa kes rabies di ketiga-tiga negeri telah 'resolved' (pulih)," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.

Hadir sama timbalannya Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Kes rabies mula dikesan di Perlis pada 19 Ogos lepas, dan menular ke Kedah dan Pulau Pinang sehari selepas itu, hingga memaksa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengisytiharkan ketiga-tiga negeri tersebut sebagai kawasan jangkitan penyakit anjing gila.

Ditanya mengapa tidak diisytiharkan sebagai 'bebas', Kamaruddin berkata Malaysia perlu membuktikan tiada penyakit rabies untuk tempoh dua tahun untuk berstatus 'bebas' selaras dengan ketetapan piawaian Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE).

"Jika tiada kes berlaku sehingga penghujung 2017, barulah Malaysia boleh mengemukakan laporan kepada OIE bagi tujuan tersebut," katanya, serta menambah kali terakhir Malaysia memperoleh status bebas rabies ialah pada 2013.

Beliau berkata sejak penyakit rabies dikesan sehingga 31 Okt lepas, sebanyak 11,298 anjing telah divaksin dengan 6,506 daripadanya adalah di Kedah.

Usaha kawalan rabies juga melibatkan 32,319 kempen kesedaran dilaksanakan, majoritinya membabitkan kunjungan dari rumah ke rumah, katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Perlis, Kedah, Pulau Pinang Kini Pulih Rabies - KP Veterinar Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top