Latest News

Thursday 3 December 2015

Racun Perosak Bernilai RM14,000 Dirampas Di Kedah



PUTRAJAYA, 30 Nov (Bernama) -- Pasukan Penguatkuasaan, Bahagian Kawalan Racun Perosak, Jabatan Pertanian merampas pelbagai jenis racun perosak tidak berdaftar dianggarkan bernilai RM14,000 dalam serbuan di Kedah Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Pertanian Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek berkata racun perosak yang dirampas di sebuah premis di Simpang Empat Kangkung, Alor Setar itu adalah untuk kawalan rumpai dan serangga bagi tanaman padi.

"Racun yang dirampas antaranya disyaki mengandungi perawis aktif Endosulfan yang diharamkan sejak 2005 dan Fentin Acetate yang tidak pernah didaftarkan di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini Isnin.

Ahmad Zakaria berkata kes tersebut disiasat di bawah subseksyen 20(3) Akta Racun Makhluk Perosak 1974 iaitu menyimpan untuk dijual racun makhluk perosak tidak berdaftar.

Katanya kesalahan itu boleh dihukum di bawah seksyen 20(4) akta yang sama iaitu penjara selama tiga tahun atau didenda RM10,000 bagi kesalahan kali pertama.

Beliau menasihati semua pihak yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penggunaan racun makhluk perosak agar sentiasa patuh dengan peraturan di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran Akta Racun makhluk Perosak 1974 diminta melaporkannya kepada Jabatan Pertanian untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Racun Perosak Bernilai RM14,000 Dirampas Di Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top