Latest News

Friday 11 December 2015

Tak Pernah Duga Dr Nawar Jadi 'Orang Besar' - Ibu



Senyuman bangga akan terukir di bibir Raziah Mustafa, 83, setiap kali melihat anaknya Dr Muhammad Nawar Ariffin dikerumuni orang ramai yang mahu bersalaman dan mengambil gambar.

Raziah sendiri seakan-akan tidak percaya anaknya sudah menjadi 'orang besar' memandangkan mereka bukanlah datang dari keluarga yang senang, sebaliknya beliau dan suami, Allahyarham Ariffin Ahmad terpaksa bertungkus-lumus menoreh getah demi memastikan enam anaknya tidak tidur dalam keadaan perut kosong.

"Setiap kali hujan, makcik dan suami akan susah hati. Bagaimana dengan belanja hari itu kerana kami tidak boleh keluar mengambil upah menoreh," katanya kepada Bernama semasa ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Dr Muhammad Nawar, 39, merupakan antara pakar ortopedik termuda di Malaysia dan kini berkhidmat di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya serta pernah dinoabatkan sebagai Ikon Belia 2011/2012 bagi kategori sosial dan politik.

Anak jati Pokok Sena, Kedah itu berkelulusan bidang perubatan dari Universiti Malaya dan juga merupakan seorang daripada lapan finalis calon angkasawan negara.

Bercerita mengenai Dr Muhammad Nawar, Raziah menyifatkan anaknya sebagai 'keras hati' dalam menuntut ilmu walaupun beliau sendiri pernah mengalir air mata melihat pakaian sekolah anaknya bertampal setelah digunakan selama dua tahun.

"Mak, adik (gelaran Dr Muhammad Nawar) nak mengaji (belajar). Kalau adik tak pulun (berusaha keras), semua kita akan susah," katanya mengenang percakapan Dr Mohammad Nawar semasa berada di darjah empat.

Raziah berkata beliau juga berterima kasih kepada guru-guru sekolah anaknya kerana tidak pernah berkeras dalam soal kewangan, walaupun ada masanya mereka mengalami kesukaran untuk membayar yuran.

Beliau menambah sebahagian besar guru-guru anaknya juga pernah 'berbisik' kepadanya bahawa Dr Muhammad Nawar akan menjadi 'seseorang' ketika mereka berjumpa di kantin sekolah, di mana Raziah melakukan kerja sambilan untuk menambah pendapatan keluarga.

"Tapi adik sangat faham. Dia tak pernah meminta-minta. Pernah semasa di universiti, adik perlukan duit... Tiga kali dia balik, tapi sampai rumah dia tak mampu minta sebab tengok mak ayahnya susah. Kali keempat baru dia bisik pada saya untuk sampaikan pada ayahnya," katanya.

Dr Muhammad Nawar yang sesekali melirik ke arah ibunya berkata beliau enggan mengalah walaupun pernah terpaksa makan mi segera sekali sehari pada zaman universiti, kerana menyedari hanya pendidikan akan mengubah nasib keluarganya.

"Sebab itu saya mahu melihat semua khususnya orang Melayu untuk mengambil peluang bagi memajukan diri," kata perwakilan UMNO dari Kedah itu.

Dr Muhammad Nawar yang sudah lebih sedekad bergelumang dalam bidang perubatan mengakui sangat menghargai sumbangan UMNO yang tidak pernah jemu menyediakan pelbagai bantuan untuk mereka yang memerlukannya.

Hari ini, Dr Muhammad Nawar yang hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2015 di sini, amat terharu apabila presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak memetik namanya dalam ucapan dasarnya pagi tadi.

Najib merujuk ucapan Dr Muhammad Nawar pada perhimpunan agung tahun lalu, yang menceritakan kedaifan hidupnya dan mengakui 'setiap butir nasi dimakan, adalah rezeki kurniaan Allah, hasil titik peluh perjuangan UMNO'.

Najib menjadikan contoh kisah hidup Dr Muhammad Nawar itu sebagai antara kejayaan UMNO dalam membela serta mengubah nasib orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Sambil bersyukur kerana negara ini diperintah oleh kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO, Dr Muhammad Nawar berkata: "Kejayaan UMNO sebagai pentadbir negara memastikan semua mendapat peluang terbaik dan menggubal polisi dan dasar yang bukan hanya mengubah nasib satu individu, tetapi seluruh keluarga," katanya.

Dr Muhammad Nawar yang kehilangan ayahnya pada 2004 juga berkata beliau berasa sangat puas apabila dapat menunaikan pelbagai perkara yang tidak dapat 'diimpikan' ayahnya seperti menaiki kapal terbang, selepas berjaya dalam bidang perubatan.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Tak Pernah Duga Dr Nawar Jadi 'Orang Besar' - Ibu Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top