Latest News

Monday 18 January 2016

Pak Cik Nasir Abas Mahu Keliling Semenanjung Sempena Tahun Melawat Kedah



Pelari solo dari Kedah akan melakukan larian mengelilingi Semenanjung pada Mac ini sempena Tahun Melawat Kedah 2016.

Nasir Abas, 60, sebelum ini pernah melakukan larian sejauh kira-kira 500 kilometer dari Stadium Shah Alam, Selangor mulai 13 Dis tahun lepas, selepas berakhirnya perlawanan akhir Piala Malaysia dan tiba di Stadium Darul Aman pada 22 Dis tahun lepas.

Bekas anggota tentera ini berkata larian solonya akan membawa mesej untuk mengajak orang ramai melancong ke negeri jelapang padi yang mempunyai pelbagai keunikan.

Beliau yang tinggal di Taman Sri Putra, Kuala Kedah berkata usia bukan penghalang untuknya melakukan larian dan menjadikannya sebagai cabaran untuk melakar kejayaan seperti tahun 2002.

"Pada 2002 saya telah melakukan larian solo dan ketika itu saya berumur 47 tahun dengan berlari sejauh 1,754 kilometer selama 30 hari di seluruh Semenanjung bermula dari Kelantan hingga Perlis," katanya.

Nasir berkata kejayaan tersebut membolehkan namanya tercatat dalam The Malaysia Book Of Records (MBR) dan pada 2003 dan namanya sekali lagi tercatat dalam MBR selepas berlari sejauh 2,068 kilometer dari Tawau hingga Kuching selama 53 hari.

"Dengan usia saya pada masa kini, mugkin akan mengambil masa lebih 30 hari bagi melengkapkan larian ini. Saya yakin dapat melaksanakan misi ini dengan berjaya ditambah dengan sokongan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir," katanya.

Katanya selepas tamat larian dari Stadium Shah Alam pada 22 Dis lepas, beliau telah melakukan latihan sebagai persiapan dari segi mental dan fizikal bagi menjayakan misi solo itu.

"Ketika saya lari dari Shah Alam, tiada sebarang persiapan dibuat tetapi saya berjaya sampai ke Stadium Darul Aman dengan selamat. Syukur tahap kesihatan saya juga baik ketika itu walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran," katanya.

bernama
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Pak Cik Nasir Abas Mahu Keliling Semenanjung Sempena Tahun Melawat Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top