Latest News

Monday 18 January 2016

Ucapan YAB MB Kedah Menjunjung Kasih Sempena Hari Keputeraan KDYMM Sultan Kedah ke 88




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh

Segala puji-pujian bagi Allah SWT, selawat serta salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW dan ahli-ahli keluarganya serta para sahabat.

Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Temenggong Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah

Yang Teramat Mulia Datin Seri DiRaja Puan Seri Dato’ Seri Tengku Maliha Binti Tengku Ariff, Tunku Puan Temenggong Kedah

Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Laksamana Kedah, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan Yang Amat Berbahagia Datin Seri DiRaja Puan Seri Dato’ Nora Binti Abdullah, Toh Puan Laksamana Kedah

Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Panglima Besar Kedah, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Duli Yang Amat Mulia Raja Dato' Seri Iskandar Dzulkarnain Alhaj Ibni Almarhum Sultan Idris A'fifullah Shah, Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan dan Duli Yang Amat Mulia Dato' Seri DiRaja Tunku Soraya Binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan.

Ampun Tunku beribu-ribu ampun, sembah patek mohon di ampun.

Kemujut kepala rempah
Buah pahala buah kemiri
Kalam sujud membawa sembah
Dakwat berlari menjunjung Duli

Patek mewakili seluruh rakyat negeri Kedah Darul Aman merafak sembah setinggi-tinggi tahniah sempena hari keputeraan yang ke-88, KeBawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Sesungguhnya seluruh rakyat negeri Kedah Darul Aman amat bersyukur kehadrat Allah Subhanahu wataala di atas limpah kurnia kesihatan KeBawah Duli Tuanku. Patek-patek sekalian sentiasa mendoakan sihat walafiat yang berterusan serta dilanjutkan usia KeBawah Duli Baginda yang dikasihi.

Patek dan seluruh Rakyat Negeri Kedah Darul Aman sentiasa mendoakan semoga negeri ini terus berkembang maju, aman makmur lagi sejahtera berkat kedaulatan Duli Tuanku.

Ampun Tunku Beribu-ribu ampun, sembah Patek mohon diampun.

Sepanjang tahun 2015, Patek dan seluruh Rakyat telah dikejutkan dengan beberapa perkhabaran yang amat mendukacitakan, iaitu berita kemangkatan Duli Yang Teramat Mulia Tunku Hajjah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah, Raja Puan Muda pada 21 September 2015. Rakyat sekali lagi bersedih dengan berita kemangkatan Yang Teramat Mulia Tunku Hajjah Hamidah binti Almarhum Sultan Badlishah, kekanda KeBawah Duli Tuanku pada 4 November 2015.

Pada 29 November 2015 Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Abdul Malek Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Raja Muda pula kembali ke Rahmatullah. Patek bersama sekalian Rakyat jelata merafak sembah takziah. Sesungguhnya, Rakyat amat terasa akan kehilangan dan bersedih.

Naik perahu meniti gelombang
Nampak dari Tanjung Jati
Almarhum Almarhumah bak bunga yang kembang
Sentiasa mekar didalam hati

Ampun Tunku

Bersempena dengan Ulangtahun Hari Keputeraan kali yang ke 88 ini, patek yang mewakili seluruh Rakyat merafak sembah untuk menzahirkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.

Kerajaan Tuanku terus memberikan perkhidmatan kepada Rakyat dengan penuh dedikasi. Setiap titah Duli Tuanku sentiasa dijunjung demi kebaikan Rakyat.

Di peringkat negeri, langkah-langkah untuk menyelesaikan sebarang masalah sedang dan akan direncanakan. Pelbagai program dilaksanakan demi memenuhi harapan rakyat. Contohnya, Projek Perumahan Mampu Milik yang diusahakan untuk memenuhi keperluan golongan yang belum memiliki rumah; Taman Industri Pertanian diwujudkan untuk menambah nilai hasil golongan petani dan peladang; Projek Terminal Perikanan Bersepadu (KIFT) telah diluluskan untuk memberi dimensi baharu kepada industri perikanan; dan Projek Bandaraya Getah bakal membantu meningkatkan pendapatan pekebun getah. Malah rancangan untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim juga bertujuan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi wilayah utara Semenanjung, selain memenuhi permintaan pasaran.

Di samping itu, berlaku peningkatan keyakinan pelabur asing terhadap dasar-dasar Kerajaan Negeri yang mesra pelabur yang mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk diisi oleh masyarakat terutamanya belia Kedah. Misalnya, pelaburan sebesar Euro 1 Bilion bersamaan RM 4.67 Bilion oleh syarikat Osram Opto Semiconductors dari negara Jerman. Banyak lagi pelaburan seumpama ini masih diusahakan.

Patek juga memberi perhatian kepada usaha-usaha untuk menggalakkan lebih ramai masyarakat belia mencebur diri dalam bidang keusahawanan dan perniagaan. Agensi Kerajaan negeri seperti Unit Pembangunan Usahawan Kedah dengan kerjasama agensi-agensi Persekutuan menyediakan pelbagai kemudahan untuk membantu usahawan-usahawan kita. Kedah mempunyai begitu banyak bakat berinovasi yang mampu melahirkan tokoh-tokoh usahawan yang hebat. Salah satu peluang yang boleh diambil kesempatan ialah kempen pelancongan Tahun Jelajahi Kedah 2016.

Dalam pada itu, kerajaan amat peka terhadap setiap keluhan dan permasalahan Rakyat. Patek yang diamanahkan mentadbir Kerajaan Tuanku sedar akan kerisauan yang dirasai dan kesusahan yang dialami oleh Rakyat ketika ini. Kos sara hidup yang semakin meningkat dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, kejatuhan harga komoditi terutamanya getah dan minyak sawit, serta kejatuhan nilai ringgit telah menjejaskan kuasa beli dalam kalangan rakyat. Semua ini, telah mendapat perhatian Kerajaan Tuanku. Patek akan terus berusaha sedaya yang termampu untuk meringankan bebanan yang dipikul oleh Rakyat.

Kerajaan Negeri amat menghargai segala bentuk sumbangan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan. Namun begitu, dengan keupayaan yang terbatas dalam menghadapi isu semasa yang bertahap global, maka Kedah menaruh harapan yang amat tinggi agar Kerajaan Persekutuan memberi bantuan tambahan pada kadar segera kepada negeri ini. Tanpa perhatian khusus terhadap masalah yang dihadapi oleh Negeri Kedah, wawasan nasional untuk menjadi Negara maju menjelang tahun 2020 tentunya terjejas. Projek-projek yang dicadangkan oleh Kedah tidak hanya bertujuan untuk kepentingan negeri ini. Ianya juga adalah supaya Kedah mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negara.

Sepertimana pasukan bolasepak Kedah telah merentasi segala kekangan dan mengatasi segala cabaran untuk menjuarai Liga Perdana, dinobatkan naib juara Piala Malaysia dan diiktiraf sebagai pasukan bola sepak terbaik bagi tahun 2015, begitu jugalah nekad Kedah untuk menghidupkan semangat Mahawangsa demi mencapai sesuatu diluar jangkaan dalam segala aspek.

Pada hemat Patek, sejak sekian lama negeri Kedah telah banyak berkorban untuk menjamin keselamatan bekalan makanan Negara dan sekaligus membantu mengurangkan import. Pada ketika ini, perlu diperingatkan bahawa rakyat Kedah telah mengembalikan mandat kepimpinan kepada kerajaan sekarang. Perkara ini wajar diambil kira dalam setiap pertimbangan oleh Kerajaan Persekutuan.

Ampun Tunku,

Kesultanan negeri Kedah mempunyai sejarah yang amat panjang. Uniknya, ia bermula dengan Ketua orang Melayu iaitu Tun Derma Dewa dan Tun Perkasa mengangkat seorang Raja dari keturunan Iskandar Dzulkarnain iaitu Maharaja Durbar Raja yang berasal dari Parsi pada tahun 630 Masehi. Mengikut sejarah, Baginda membuka sebuah Negara yang bernama Langkasuka. Sejak itu, maka lahirlah hubungan begitu rapat diantara Raja dan Rakyat yang terus kekal terpelihara sehingga kini. Hubungan ini secara simboliknya terus dipupuk dengan adab menjunjung sembah; dimana Raja diibaratkan sebagai tangan kanan, manakala Rakyat umpama tangan kiri. Kedua belah tangan ditemukan, kemudian diangkat dan dijulang ke dahi menandakan kekuatan dan penghormatan tertinggi kepada hubungan Raja dan Rakyat. Seperti titah Raja ketika itu, “tiada Raja tanpa rakyat”.

Patek sedar bahawa institusi pondok yang tersebar luas di seluruh negeri diasaskan oleh Kesultanan Kedah. Setelah Sultan Muzzafar Shah memeluk agama Islam mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah atas nasihat Tuan Syeikh Abdullah Yaman pada tahun 1136M, baginda memulakan pengajian agama Islam di istana dengan pembesar-pembesar negeri. Amalan ini berlanjutan sehinggalah pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin Muadzam Shah, Sultan Kedah yang ke-19 yang telah mengasaskan pondok-pondok agama atas nasihat Tuan Syeikh Abdul Jalil iaitu Mufti Negeri Kedah pada tahun 1730. Jelaslah bahawa kehebatan pondok-pondok agama kini, bermula atas titah perintah Sultan. Maka, janganlah sesiapapun menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar seperti yang dihasratkan oleh Kesultanan Kedah.

Oleh itu, Institusi Kesultanan wajib dipertahankan. Bagi pihak seluruh Rakyat, Patek bimbang akan kemerosotan nilai penghormatan terhadap Institusi DiRaja dan Islam. Rakyat sentiasa menjunjung tinggi naungan Sultan sebagai payung negeri dan negara. Namun, apabila titah Tuanku tidak dijunjung, ianya membangkitkan kemarahan Rakyat kerana titah Sultan dan Majlis Raja-Raja Melayu tidak boleh dipandang remeh.

Anak ikan dimakan ikan
Ikan berenang dalam perigi
Kasihkan intan pertahankan intan
Intan bernama payung negeri

Sesuai dengan penzahiran ikrar taat setia daripada pihak Patek yang mewakili seluruh Rakyat, Patek juga mohon menzahirkan seluruh kudrat bagi membolehkan Raja dan Rakyat bersatu dalam menangani perkara-perkara yang menghakis nilai penghormatan keatas Institusi DiRaja. Patek dan Rakyat jelata mengharapkan naungan yang berterusan KeBawah Duli Tuanku seperti yang telah diperturunkan dalam Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu. Semoga kepentingan Rakyat dan Negara terus mendahului apa juga kepentingan lain.

Pada pengamatan Patek, Duli Tuanku adalah payung negeri. Duli Tuanku sentiasa mengambil berat isu-isu yang membebankan Rakyat. Justeru, Rakyat sentiasa berdiri teguh di bawah naungan Duli Tuanku yang bersemayam di atas Singgahsana Takhta Kerajaan.

Ampun Tunku,

Di Majlis yang mulia ini, Patek mengulangi ikrar menerima amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Duli Tuanku. Di samping itu, Patek juga menjalankan amanah untuk membawa suara Rakyat. Patek berjanji akan terus melaksanakan amanah ini dengan baik.

Akhir kalam, Patek dan seluruh Rakyat sekali lagi merafak sembah setinggi-tinggi tahniah diatas sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Yang ke-88 KeBawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Alhaj Abdul Halim Mu’adzzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, dan mendoakan semoga Allah SWT lanjutkan usia Duli Tuanku kekal memerintah di atas singgahsana Kerajaan Negeri dengan penuh kebesaran dan kedaulatan.

Rahmat dinanti berkunjung juga
Mega yang redup sudah beredar
Selamat berbakti payung negara
Semoga hidup tabah dan sabar

Mega yang redup sudah beredar
Cerah berseri angkasa timur
Tuanku Raja tabah dan sabar
Murah rezeki negeri makmur

Patek turut mendoakan semoga Yang Teramat Mulia Pengerusi dan Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan serta seluruh Kerabat DiRaja sentiasa dirahmati Allah Subhanahu Wataala. Amin Yarobbul Alamiin.

Sekian, wabillahi taufiq, walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.

Ampun Tunku
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Ucapan YAB MB Kedah Menjunjung Kasih Sempena Hari Keputeraan KDYMM Sultan Kedah ke 88 Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top